KUALA LUMPUR: Malaysia kini selangkah lagi untuk melakar kejuaraan hatrik di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila mara ke final dalam acara berpasukan selepas menumpaskan Indonesia 2-0, sebentar tadi.
Malaysia yang muncul juara dalam acara beregu dan regu sekali lagi akan berentap dengan Thailand di pentas final pada pukul 3 petang esok yang juga boleh diibaratkan sebagai penentu kuasa baharu sepak takraw dunia.
Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) yang turun selaku regu pertama tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Indonesia 15-12, 15-9.
Regu juara dunia Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kanan) dan Azlan Alias (apit kanan) menyumbangkan mata kemenangan Malaysia apabila menang 15-8, 15-7 ke atas regu kedua Indonesia.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Sumali Reduan berkata, kejayaan melangkah ke final tu menepati sasaran Malaysia untuk layak ke perlawanan akhir bagi ketiga-tiga acara dipertandingan.
“Sasaran tepat kita mara ke final dalam tiga acara di Piala Dunia, esok bertemu Thailand kita masih lagi 50-50 biarpun berjaya mengejutkan mereka dalam acara beregu dan regu. Kita harap pemain dapat lakukan yang terbaik.
“Misi kita juga adalah untuk menamatkan penantin 33 tahun tidak pernah tewaskan Thailand dalam acara berpasukan dan kita harapkan hari bersejarah itu akan hadir esok dengan prestasi terbaik pemain,” katanya.
Selain itu katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai bonus kepada semua pemain yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia.
“Bonus semestinya ada, Insya-Allah saya akan bincang dengan menteri untuk hargai kemenangan dalam acara beregu dan regu dan seterusnya acara berpasukan, cuma saya harapkan pemain dapat fokus kepada permainan dahulu,” katanya.
Di pentas final esok, Malaysia turun dengan impian besar menamatkan badi 33 tahun tidak pernah menang ke atas Thailand,kali terakhir skuad negara mengatasi pasukan Gajah Perang itu ialah pada Sukan SEA Manila 1991.-UTUSAN










