Ahmad Jais minta maaf gagal beri kemenangan hatrik

Ahmad Jais minta maaf gagal beri kemenangan hatrik

Sepak takraw mengorak langkah lebih jauh apabila memohon untuk sukan itu dipertandingkan di Sukan Olimpik.- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan pasukannya meraih kejayaan hatrik di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Dalam aksi final acara berpasukan di Stadium Titiwangsa hari ini, anak-anak buah Ahmad Jais tumpas 1-2 Thailand, sekali gus terlepas menjulang piala utama yang ditawarkan pada edisi kali ini.

Kekalahan itu juga menyaksikan kemarau untuk menamatkan badi kekalahan kepada Thailand dalam acara berpasukan terus berpanjangan selepas kali terakhir Malaysia menang ke atas Thailand ialah pada Sukan SEA Manila 1991.

Bagaimanapun, secara keseluruhan persembahan skuad sepak takraw negara wajar mendapat pujian selepas bergelar juara dunia dalam acara beregu dan regu selain bergelar naib juara dalam acara berpasukan.

“Terlebih dahulu saya dari pasukan sepak takraw kebangsaan memohon banyak kemaafan kepada semua peminat sukan sepak takraw khususnya di atas kegagalan pasukan kita untuk memecahkan dominasi Thailand dalam acara berpasukan.

“Bagi saya secara peribadi kita lihat beberapa elemen permainan khususnya di regu kedua dan ketiga itu adalah antara menyebabkan kita gagal beri saingan pada pasukan Thailand.

“Kita perlu sedar bahawa tiada jalan mudah untuk pemain kita mencapai prestasi terbaik dan kita akan lipat gandakan usaha untuk perbaiki prestasi bagi mempersiapkan pasukan di peringkat antarabangsa selepas ini,” kata Ahmad Jais.

Dalam pada itu, Ahmad Jais berjanji anak-anak buahnya akan bangkit dalam kejohanan Piala Raja Thailand pada awal September depan dan akan membentuk skuad lebih mantap untuk memberi saingan kepada skuad Gajah Perang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN