PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan bersifat sementara dan tiada kesan buruk akan berlaku sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, jangkaan hujan hanyalah bersifat sementara dan tidak berpanjangan berdasarkan keadaan atmosfera yang kurang lembab ketika ini.
“Jika kita lihat keadaan atmosfera ketika ini, kita dapat jangkakan hujan hari ini adalah bersifat sementara sahaja dan tidak akan berpanjangan.
“Pendek kata hujannya bukan jenis lebat yang boleh membawa kesan buruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, meskipun keadaan cuaca baik, pengundi perlu merancang perjalanan ke tempat mengundi lebih awal dengan melihat perkembangan cuaca semasa yang dikeluarkan.
“Pengundi dari kawasan yang dijangka hujan esok pagi dan petang esok perlu rancang perjalanan ke tempat mengundi dengan dapatkan maklumat cuaca terkini daripada MetMalaysia menerusi laman web atau aplikasi mobil myCuaca,” katanya.
Tambah Dr. Hisham, untuk pengundi yang berada di enam daerah iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Pontian, Tangkak dan Kulai digalakkan keluar mengundi pada waktu petang disebabkan jangkaan hujan pada sebelah pagi.
Sementara, pengundi di daerah Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing digalakkan keluar awal untuk mengelakkan hujan pada waktu petang.
Terdahulu, MetMalaysia dalam kenyataan mengeluarkan ramalan cuaca pada 11 Julai sempena PRN Johor, terdapat beberapa kawasan akan mengalami hujan. – UTUSAN










