KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan Ng Tze Yong daripada skuad Piala Thomas negara selepas pemain perseorangan itu masih dibelenggu masalah kecederaan.
Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, keputusan pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan.
“Kami bersama pihak BAM menjalani satu mesyuarat kecil berhubung status Tze Yong. Selepas keputusan MRI keluar kami melihat beliau belum bersedia menjelang Piala Thomas nanti.
“Kondisi Tze Yong dilihat tidak meyakinkan jadi kami bersama barisan kejurulatihan berbincang sehingga satu keputusan yang benar-benar betul.
“Kami memutuskan bahawa calon yang sesuai menggantikan Tze Yong adalah Choong Hon Jian daripada pemain beregu yang mana sebelum ini hanya Haikal (Muhammad Haikal Nazri) sahaja yang berada dalam senarai,” katanya.
Pemain kelahiran Johor itu menjalani proses MRI pada Selasa lalu untuk menilai keadaan fizikalnya untuk mengetahui kondisi sebelum saingan Piala Thomas 2024 bermula.
Biarpun mengakui ketiadaan Tze Yong akan merumitkan skuad negara khususnya dalam acara perseorangan, Rexy optimis kehadiran Hon Jian dapat membantu menguatkan barisan beregu lelaki.
“Kita putuskan untuk masukkan Hon Jian selepas beberapa perkara yang kami bincang bersama BAM dan barisan kejurulatihan.
“Jurulatih perseorangan dan beregu sudah berbincang bersama dan kami lihat Hon Jian calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan Tze Yong,” katanya
Skuad perseorangan negara kini dibarisi oleh Lee Zii Jia, Cheam June Wei, Leong Jun Hao serta Justin Hoh manakala bagi acara beregu Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik selaku kapten pasukan diikuti dengan Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal-Hon Jian.-UTUSAN










