Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia dalam kumpulan selamat

Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia dalam kumpulan selamat

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan (tengah) semasa Majlis Undian Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di PWTC, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw selepas berada dalam kumpulan yang agak mudah dalam proses undian.

Pada undian yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) sebentar tadi, Malaysia yang menjadi tuan rumah diberikan hak untuk memilih kumpulan dalam acara double dan berpasukan sekali gus mengelak berdepan Thailand di peringkat lebih awal.

Dalam acara double, Malaysia memilih berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei manakala dalam acara berpasukan, Malaysia akan bersaing dengan Jepun dan Brunei di Kumpulan C.

Bagi acara regu, Malaysia yang muncul naib juara Piala Dunia di Korea Selatan pada 2022 diletakkan sebagai pasukan pilihan utama dalam Kumpulan B yang turut dianggotai China dan Brunei.

Ujian sebenar untuk skuad negara untuk ketiga-tiga acara Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur 18 hingga 26 Mei ini dijangka berlaku di suku akhir.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, pihaknya berharap skuad negaraa mampu melangkah ke final dalam ketiga-tiga acara dan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Mengenai peluang kita selamat atau tidak, bila sudah dalam kejohanan apatah lagi namanya juga Piala Dunia, peluang itu semua ada tetapi untuk pasukan negara, Insya-Allah pasukan negara boleh melakukan terbaik.

“Harapan saya dan juga peminat negara, sudah pasti yang penting kita mahu ke final sebab kita sebagai tuan rumah. Kita akan cuba sedaya upaya untuk mencapai kejayan paling maksimum di pentas berprestij ini,” katanya.

Untuk rekod, Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumur menjadi edisi pertama yang menganjurkan tiga acara iaitu double, regu dan berpasukan kerana sebelum ini, ia hanya melibatkan acara regu sahaja.

Malaysia pernah bergelar naib juara Piala Dunia Sepak Takraw sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2022 di korea Selatan, edisi 2011 di Kuala Lumpur dan 2017 di Hyderabad, India.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×