Misi emas pertama dan terakhir Jijoe

Misi emas pertama dan terakhir Jijoe

JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai di Nilai, Negeri Sembilan semalam sebagai persiapan untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tekad mahu memberi inspirasi untuk dikenang selama-lamanya kepada barisan atlet serta Malaysia sebelum menamatkan kariernya sebagai pelumba selepas Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.

Azizulhasni yang diberi jolokan The Pocket Rocketman itu secara peribadi meletakkan sasaran pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu walaupun badan induk sukan negara tidak meletakkan sebarang sasaran buatnya di pentas Olimpik.

Bagaimanapun, pelumba berusia 36 tahun itu berkata, beliau menghormati segala sasaran yang diletakkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Lebih manis, Azizulhasni mengintai impian membawa pulang emas pertama negara untuk memberi motivasi kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom sebagai sandaran utama dalam sukan berbasikal trek.

“Kalau secara peribadi memang saya nak bawa pulang emas pertama Malaysia. Pasukan saya hormat dengan keputusan saya meletakkan sasaran saya itu. Saya hanya mahu melengkapkan senarai pingat saya di pentas olimpik.

“Ini Olimpik terakhir saya, jadi saya nak memberi inspirasi kepada barisan pelumba trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa supaya legasi saya diteruskan,” katanya.

Terdahulu, kem latihan kebangsaan bermula Isnin lalu di Velodrom Nasional Nilai, namun jurulatih kebangsaan John Beasley bersama Azizulhasni menyertai pada Rabu selepas itu berikutan menjalani ujian aero di London.

Dalam pada itu, Azizulhasni berkata, beliau kini mengubah sesi latihannya yang bersesuaian dengan usianya kini untuk mengelakkan daripada penyakit perikarditis menyerang semula.

Katanya, setelah berbincang bersama Beasley, beliau perlu bijak dalam menyusun strategi latihannya dan tidak boleh menjalani latihan berintensiti tinggi seperti sebelum ini.

“Saya semakin berusia, kemahuan mahu berlatih seperti muda itu masih terbuai. Selepas bincang dengan Beasley saya perlu perlahankan sedikit latihan saya. Saya perlu bijak dalam mengatur latihan saya. Latihan semakin pintar dari sebelum ini.

“Shah dengan Izzati mereka perlu beri 100 peratus dalam latihan kerana mereka masih muda. Saya perlu membina latihan saya dengan perlahan. Kadangkala saya perlu laju dan perlahan. Kecederaan adalah musuh saya pada usia sebegini,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni atau mesra dengan panggilan Jijo menjalani atihannya semula di Malaysia untuk beberapa minggu selepas berkelana di Australia untuk beberapa bulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN