Azimuddin idam sehebat pukulan Razie Rahim 

Azimuddin idam sehebat pukulan Razie Rahim 

PENYERANG muda Speedy Tigers Azimuddin Syakir Kamaruddin (kiri) tekad mahu jadi drag-flicker terbaik negara seperti Razie Rahim. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain hoki kebangsaan, Azimuddin Syakir Kamaruddin memasang impian mahu jadi sehebat Razie Rahim biarpun menjadi pendatang baharu pasukan Speedy Tigers.

Penyerang itu bercita-cita mahu menjadi pakar pukulan sudut terbaik negara seperti Razie yang sudah bersara daripada pasukan kebangsaan dengan menjaringkan 100 gol daripada 321 penampilan kebangsaan.

“Razie merupakan idola saya sejak bermain hoki. Beliau menjadi ikon saya untuk bekerja keras menjadi pemain terbaik. Saya tekad mahu berjaya seperti beliau.

“Saya mahu meningkatkan kemahiran drag-flick dengan berusaha dari segi kekuatan tenaga dan ketepatan saya,” kata Azimuddin ketika latihan fasa kedua kem hoki negara.

Impian Azimuddin menjadi sehebat Razie mampu direalisasikan selepas dia muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL), menjaringkan 17 gol, dengan 11 daripadanya penalti sudut untuk Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) ketika membantu pasukan merangkul kedua-dua liga dan keseluruhan. 

Bagaimanapun, hasrat Azimuddin menjadi semakin sukar saban hari selepas berdepan saingan daripada pemain drag lain dalam Speedy Tigers iaitu Faizal Saari, Syed Syafiq Syed Cholan, dan kapten remaja kebangsaan Faris Harizan.

“Tahun lalu, saya sebahagian daripada pasukan remaja kebangsaan untuk latihan pusat, tetapi saya tidak menarik perhatian jurulatih. Tetapi kali ini, saya gembira berada dalam kalangan 30 pemain dalam skuad senior.

“Akan tetapi saya tidak boleh mengambil tempat saya begitu sahaja. Saya mesti bekerja keras untuk menarik perhatian jurulatih, Sarjit Singh,” kata Azimuddin.

Untuk rekod, pemain berusia 18 tahun itu mewakili TNB Thunderbolts dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) dan berhasil menjaringkan tiga gol musim ini.

Tempat Azimuddin dalam skuad Speedy Tigers ke saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 masih belum terjamin berikutan Sarjit hanya akan menamakan 18 pemain untuk ke kejohanan terbabit selepas aksi persahabatan menentang New Zealand pada 1 Mei ini.

Cabaran skuad hoki Malaysia yang bakal menyusul tahun ini ialah Piala Negara-negara di Poland pada 31 Mei-9 Jun dan Piala Asia di China (8-17 September). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN