Keunikan Lenggong perlu diterokai

Keunikan Lenggong perlu diterokai

ANTARA gambar pemandangan yang diambil Badrul Akram Badaruddin sewaktu melancong ke Lenggong, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Keunikan yang tiada ditempat lain menjadi ulasan seorang pemuda, Badrul Akram Badaruddin, 32 tahun ketika menghuraikan mengenai keindahan alam di Lenggong, Perak.

“Pertama, pemandangan luar biasa. Tenang berdepan tasik yang pemandangan tak dapat di tempat lain. Aktiviti meman­cing, berkayak dan naik bot.

“Pemandangan matahari terbenam memang terbaik untuk orang macam saya yang minat mengambil gambar,” katanya ketika menceritakan pengalaman melancong di Lenggong.

WARISAN

Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 serta lokasi Geo­park Kebangsaan pada 2021, selain mempunyai kisah tersendiri termasuk terdapat taburan debu Gunung Berapi Toba yang telah diterbangkan sewaktu letusan berlaku sekitar 74,000 tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Mohd. Amzari Mohd. Arzami berkata, dengan keunikan yang wujud, daerah itu turut memberi tumpuan sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan perkhemahan untuk dinikmati oleh penggemar aktiviti rekreasi.

“Di Lenggong, kawasan Tasik Raban sangat sesuai bagi aktiviti ini. Selain dapat merasai pe­ngalaman berkhemah, pelancong juga dapat merasai aktiviti sekitar yang lain se­perti memancing, berkayak serta menaiki bot menerokai Tasik Raban dan Sungai Perak,” katanya.Tambahnya, trend melancong aktiviti perkhemahan semakin popular bagi pelancong secara berkumpulan atau berkeluarga yang gemarkan konsep outdoor.

Beliau juga memberi jaminan bahawa aktiviti yang disediakan telah dimaklumkan kepada pasukan keselamatan sekiranya sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

SEJARAH

Kata Mohd. Amzari, Lenggong merupakan kawasan yang jauh dari kesibukan kota dan selain aktiviti luar, tempat itu juga kaya dengan sejarah bumi, arkeologi dan budaya termasuk seperti Galeri Lenggong Geo­park, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong serta Galeri Aki Aji.

Baginya, pelbagai aktiviti dan program dapat menarik orang ramai yang pastinya memerlukan perkhidmatan seperti penginapan, bot serta pemandu pelancong.

“Komuniti setempat yang be­kerja sebagai operator bot, pe­ngusaha penginapan, pengusaha produk tempatan, pemandu pelancong mahupun pengusaha kedai makan dapat mengambil peluang ini bagi menjana pendapatan,” katanya.

Katanya, tumpuan itu juga adalah berteraskan kepada komitmen kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi pelan Perak Sejahtera 2030.

Mengikut Pelan itu, Lenggong dalam daerah Hulu Perak adalah sebahagian daripada Koridor Pelancongan Diraja Glo­bal, dengan pelancongan wa­risan dan ekopelancongan yang berteraskan biodiversiti merupakan Niche Daerah sebagai sektor berpotensi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN