CAAM keluar amaran bahaya debu gunung berapi Ruang

CAAM keluar amaran bahaya debu gunung berapi Ruang

PENUMPANG penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang terkandas akibat pembatalan penerbangan kerana letupan Gurung Ruang, Indonesia di KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan Maklumat Keselamatan berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia yang memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, maklumat Keselamatan ini dikeluarkan ekoran letusan Gunung Ruang, Manado yang mula berlaku pada pukul 9.45 pagi kelmarin.

Menurut beliau, kesan letusan ini menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan.

“CAAM menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan juga dinasihatkan sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak hari ini berikutan letusan gunung berapi itu.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa yang sedang berlaku dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini.

Maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dibuat di sini (aplikasi X) dan dimaklumkan terus kepada pelanggan yang terjejas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN