Oman mahu menang tetapi padang mengecewakan

Oman mahu menang tetapi padang mengecewakan

KETUA Jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dan kapten pasukan, Ali Al Busaidi (kanan), pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Oman bagi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027, di Wisma FAM, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Oman tidak rela pulang ke Muscat dengan tangan kosong dan kapten pasukan, Ali Al Busaidi menegaskan misi utama mereka menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini hanya untuk menang.

Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kemenangan menjadi milik pasukan dan percaya bahawa ketua jurulatih, Jaroslav Silhavy telah memiliki strategi untuk mengecewakan skuad Harimau Malaya.

Kedua-dua pasukan akan bertembung buat kali kedua dalam Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas aksi di Muscat, Jumaat lalu memihak Oman dengan keputusan 2-0.

“Sudah tentu kami datang ke sini untuk menang dan kekalkan kedudukan teratas kumpulan. Tidak kira apa perlu dilakukan, kami mahu menang dalam perlawanan ini.

“Jurulatih sudah tahu segalanya tentang Malaysia dan memiliki perancangan taktikal untuk perlawanan esok (malam ini).

“Semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersedia mengikut segala perancangan jurulatih,” katanya pada sidang media pra perlawanan Malaysia menentang Oman, di sini semalam.

Oman yang kini memimpin saingan Kumpulan D susulan kemenangan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat tetap dianggap sebagai pasukan pilihan meskipun mereka bertandang di laman Harimau Malaya.

“Kami tetap menghormati pasukan Malaysia dan mereka memiliki pemain yang bagus dan bermain sangat tersusun.

“Tetapi kami tidak boleh terlalu hormati mereka kerana bermain di tempat mereka. Kami akan cuba memberi aksi yang terbaik dan telah bersedia,” ujar Silhavy.

Mengulas mengenai isu padang, Silhavy mengakui tidak berpuas hati dengan keadaan padang dan menyifatkan ia belum bersedia untuk digunakan pada perlawanan itu.

“Malangnya kami mendapat maklumat tentang cuaca di Malaysia iaitu hujan terlalu banyak, kami percaya padang tidak bersedia dan berada dalam keadaan tidak  bagus untuk perlawanan ini,” tambahnya,-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN