Harimau Malaya tidak rela rebah lagi

Harimau Malaya tidak rela rebah lagi

KETUA Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon dan kapten pasukan, Dion Cools pada sidang akhbar pra-perlawanan menentang Oman bagi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027, di Wisma FAM, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan untuk mencipta kemenangan tidak pernah terpadam dalam jiwa setiap pemain Harimau Malaya pada aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berkata anak buahnya sentiasa positif dan kini mengharapkan magis Bukit Jalil untuk memastikan pasukan di landasan tepat bagi mengintai peluang ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan slot ke Piala Asia 2027.

Katanya, motivasi pemain berada dalam keadaan baik dan mengakui telah belajar beberapa kesilapan ketika perlawanan pertama yang menyaksikan Harimau Malaya berputih mata di Muscat, Jumaat lalu.

“Selepas balik daripada Oman, fokus kami adalah dalam sesi pemulihan sebelum hadapi perlawanan penting. Walaupun liga belum lagi bermula dan tidak cukup latihan, segala kesukaran itu tidak pernah hentikan kemahuan pemain untuk layak ke kelompok 18 terbaik.

“Sudah pasti sebagai pasukan yang lebih baik Oman akan terus menyerang kami. Yang penting kami tidak akan berundur terutamanya apabila bermain di gelanggang sendiri.

“Keazaman pemain akan bawa pasukan lebih ke depan dan walaupun tidak boleh janjikan keputusan, paling penting adalah kami akan melawan. 

“Kami belajar daripada kesilapan lalu, kalau dapat satu mata pun sudah bagus, lagilah kalau kita mampu raih tiga mata,” katanya pada sidang media pra perlawanan antara kedua-dua pasukan di sini semalam.

Untuk rekod, Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan D dengan menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Bukit Jalil sebelum meneruskan rentak sama diteruskan menerusi kemenangan 1-0 ke atas Taiwan di Taipei.

Bagaimanapun kekalahan sulung Harimau Malaya, Jumaat lalu menyaksikan kedudukan Harimau Malaya kini jatuh ke tangga ketiga namun dipisahkan perbezaan jaringan selepas berkongsi enam mata dengan Oman dan Kyrgyzstan.

Dalam masa sama, jurulatih dari Korea Selatan itu menuntut janji daripada pihak bertanggungjawab menguruskan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami mahu melawan dan berikan aksi yang mengujakan. Kami juga perlukan padang yang bagus. Saya belum lihat lagi (padang) tetapi mereka berjanji kepada saya yang padang akan berada pada tahap terbaik pada hari perlawanan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN