Abdul Latif yakin cipta hatrik emas Paralimpik

Abdul Latif yakin cipta hatrik emas Paralimpik

ABDUL Latif Romly (tengah) menerima insentif dari kerajaan negeri pada Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly memasang impian untuk melakar hatrik emas di Sukan Paralimpik dalam acara acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Sekiranya berjaya melakar sejarah itu, Abdul Latif akan menyamai rekod yang dipegang pelari pecut sensasi dunia, Usain Bolt yang meraih tiga pingat emas berturut-turut dalam temasya Sukan Olimpik.

Jika menjadi kenyataan, Abdul Latif juga bakal mencipta sejarah dengan muncul atlet pertama Malaysia meraih habuan RM3 juta bagi tiga edisi Sukan Paralimpik selepas merangkul emas di Rio (2016) dan Tokyo (2020).

Bagi memastikan impiannya itu tercapai, Abdul Latif berkata, dia kini sedang mempersiapkan dirinya memandang bakal menerima tentangan sengit di Paralimpik Paris dari atlet Kanada, Greece dan Australia.

“Saya memang sasar hatrik (emas paralimpik) selain ingin memecahkan rekod dunia 7.64 meter (m) yang sudah lama tidak dipecahkan. Sasaran lompatan bagi memecahkan rekod dunia yang dipegangnya itu ialah 7.70 atau 7.80m

“Prestasi ketika ini dilihat dalam 50 ke 80 peratus dan saya masih ada masa sekitar dua bulan sebelum kejuaraan dunia pada Mei depan. 

“Saya memang yakin, namun dalam masa sama tidak mahu terlalu yakin. Hatrik Paralimpik penting memandangkan sebelum ini, tidak ada lagi yang cipta hatrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Atlet Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan di sini semalam.

Pada majlis itu, Abdul Latif yang memenangi pingat Emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 menerima insentif dari kerajaan negeri sebanyak RM6,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Tambah Abdul Latif, dia terus mempergiatkan latihan dan program yang diaturkan sebagai persediaan menjelang sukan Paralimpik selain mempersiapkan mental dan menguatkan motivasi diri mencipta kejayaan tersebut.

“Saya perlu bersiap sedia dan terus menjalani latihan lebih gigih kerana pencabar-pencabar dari negara lain juga semakin memberi saingan yang cukup sengit,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN