THT belum kibar bendera putih

THT belum kibar bendera putih

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) terlepas peluang untuk melebarkan jurang dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 selepas diikat Nurinsafi Sporting 4-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, kelmarin.- ihsan MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyandang juara Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) enggan mengalah biarpun peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan musim ini dilihat terlalu tipis.

THT yang pada awalnya memiliki kelebihan untuk menjadi juara sekali lagi berputih mata selepas diikat 4-4 oleh Nurinsafi Sporting, kelmarin di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, sekaligus keciciran mata.

Pengendali THT, Mohd Harfizi Baharim menjelaskan pertemuan menentang Maybank pada petang ini adalah satu tugasan yang mencabar, memandangkan lawan juga sedang mengintai untuk menjadi juara MHL.

“Situasi di kem THT ketika ini agak sugul kerana kami amat kecewa dengan keputusan menentang Nurinsafi. Cuma kita tidak boleh terlalu lama sangat memikirkan perlawanan semalam (kelmarin) kerana kita masih ada satu lagi perlawanan dan saya harap semua barisan pemain dapat kembali mempamerkan aksi terbaik.

“Bagi saya amat merugikan kerana kami keciciran mata, kerana perbezaan gol memberikan peluang buat besar buat TNB (Tenaga Nasional Berhad) untuk menjadi juara liga. Jadi kemungkinan THT dan Maybank akan beraksi untuk penentuan tempat kedua dan ketiga liga.

“Keajaiban itu tidak mustahil, sebagaimana kami tanpa diduga diikat Nurinsafi, tidak mustahil keputusan sama mampu dilakar JM Antsbees ke atas TNB,” kata Harfizi yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Biarpun harapan untuk merangkul kejuaraan liga tipis, THT masih berpeluang untuk merebut satu lagi kejuaraan iaitu Piala TNB yang membabitkan empat pasukan teratas liga.

Untuk rekod, THT juga merupakan penyandang Piala TNB selepas menumpaskan TNB dalam perlawanan akhir dengan keputusan 2-1.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN