Pemain KL City terpaksa jadi rider cari duit

Pemain KL City terpaksa jadi rider cari duit

PASUKAN Kuala Lumpur City (KL City) antara pasukan yang didakwa berdepan masalah tunggakan gaji musim lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain Kuala Lumpur (KL) City terpaksa menjadi rider penghantar makanan dan barangan bagi menampung kehidupan seharian selepas masih belum menerima tunggakan gaji.

Jelas pemain yang enggan dikenali, rata-rata pemain kebingungan hingga ada yang terpaksa menjadi rider Lalamove, Foodpanda dan Grabfood kerana sehingga kini tunggakan gaji dari musim lalu masih belum diterima.

Rata-rata pemain KL City masih tertanya-tanya tentang baki tunggakan yang masih belum dijelaskan ketika musim baharu bakal membuka tirainya tiga bulan lagi.

Tegas sumber berkenaan, perkara paling mengecewakan dirinya dan pemain-pemain lain apabila mereka terpaksa meminta-minta atau mendapatkan penjelasan daripada pengurusan pasukan pada setiap bulan seperti seorang pengemis.

“Sedangkan mereka (KL City FC) yang berhutang dengan pemain, tapi kita pula yang kena setiap bulan pergi bertanya mengenai gaji kami.

“Kalau dalam bahasa kasar, kami ini dah macam pengemis pula meminta duit daripada mereka padahal itu hak kami.

“Bila tanya mereka selalu berjanji untuk menyelesaikan tapi sampai sekarang dah nak masuk bulan tiga (Mac) pun tak nampak bayang lagi. Saya pun ada kehidupan sendiri dan ada keluarga untuk di sara.

“Sebelum ini gaji tertunggak empat bulan, tapi selepas dikeluarkan di media pada bulan lalu mereka ada bayar untuk sebulan (bayaran gaji September 2023). 

“Tapi selepas itu mereka senyap dan masih lagi tertunggak tiga bulan,” katanya.

Tunggakan gaji yang dialami pasukan KL City bukan saja babitkan skuad Liga Super bahkan ia turut dirasai pasukan bawah 23 (B-23) tahun.

“Ada pemain yang sangkut tiga bulan…ada juga empat bulan. Setiap pemain berbeza-beza.

“Pasukan Liga Super mungkin jadi tumpuan pengurusan, tapi mereka juga diingatkan jangan lupa tentang nasib pemain B-23 yang perlukan juga pembelaan sewajarnya. Pemain B-23 pun ada kehidupan dan bukan saja pasukan Liga Super.

“Saya nak minta CEO (Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard) tolonglah ambil cakna mengenai keadaan ini. 

“Kami sudah lama menunggu dan janganlah asyik terus menabur janji,” jelasnya yang turut mengakui telah melaporkan perkara terbabit ke Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN