PETALING JAYA: Kim Pan Gon kekal menggalas tugas selaku ketua jurulatih harimau Malaya kerana jurulatih kelahiran Korea Selatan itu masih mempunyai kontrak dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Timbalan Presiden FAM. Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, usaha Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) yang dikatakan cuba memancing jurulatih terbabit untuk kembali ke pangkuan mereka hanya khabar angin semata-mata.
Beliau berkata, FAM ada perancangan tersendiri bagi memastikan peningkatan skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Pan Gon dapat diteruskan pada aksi kelayakan nanti.
“Buat masa sekarang tiada permintaan rasmi daripada KFA untuk mendapatkan semula khidmat Pan Gon untuk dipanggil semula ke Korea Selatan tatkala perlawanan (kelayakan Piala Dunia) menentang Oman terlalu hampir.
“Malah, KFA yang mencalonkan Pan Gon kepada kami sebelum ini dan saya rasa tak mungkin pihak mereka panggil kembali ketika usaha serta perubahan yang dibawanya agak ketara,” katanya, pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 Bagi penggal 2021-2025, di Wisma FAM, di sini, semalam.
Yusoff turut mengesahkan Pan Gon juga telah menandatangani kontrak lanjutan dengan perancangan jangka panjang sudah direncanakan.
“Kita juga sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan Pan Gon serta ada perancangan jangka panjang dengan beliau.
“FAM harap kita dapat teruskan momentum pada kempen Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti,” katanya.
Untuk rekod, di bawah kendalian Pan Gon, skuad Harimau Malaya telah mencipta sensasi tersendiri apabila mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi peringkat kumpulan saingan Piala Asia 2023 di Qatar bulan lalu.
Prestasi tidak konsisten skuad Taeguk Warriors yang tersingkir pada peringkat separuh akhir juga menyaksikan masa depan ketua jurulatih, Jurgen Klinsmann menjadi tanda tanya.-UTUSAN










