JDT terus serang Selangor?

JDT terus serang Selangor?

ROMEL MORALES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun saingan Liga Super musim 2024/2025 dijadualkan membuka tirai pada Mei nanti, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) terus ‘mencuit’ kem Selangor.

Kali ini menerusi video pengenalan pemain baharu JDT, Romel Morales berdurasi 42 saat yang disiarkan di laman media sosial rasmi kelab itu memaparkan Morales sedang menyediakan satu hidangan.

Penyerang naturalisasi berusia 26 tahun itu, dilihat memotong cili berwarna merah dan kuning untuk membuat hidangan terbabit sebelum ia dibuang ke dalam tong sampah.

Situasi itu mencetuskan komen ‘nakal’ daripada peminat dengan ada dalam kalangan mereka yang membuat tanggapan video berkenaan ditujukan kepada pencabar JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Selangor.

Lebih menguatkan dakwaan itu selepas pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin menyindir Selangor dalam satu komen di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers.

Menerusi komen itu, TMJ menjelaskan JDT tidak pernah tewas kepada Selangor selama lapan tahun selain mendakwa juara Piala Malaysia 33 kali itu layak ke Liga Juara-Juara Asia 2 kerana bantuan Harimau Selatan.

Morales yang juga penjaring gol penyamaan buat Harimau Malaya ketika mengikat  Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E di Piala Asia bulan lalu, bakal menyarung jersi nombor 19.

Kehadiran Morales akan menambah ketajaman jentera serangan JDT dan dia dijangka bergandingan dengan penyerang import Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

Sebelum menyertai JDT, Morales pernah mewakili beberapa pasukan Liga M termasuk PKNS, Melaka United dan Kuala Lumpur City.

Musim lalu menyaksikan JDT merekodkan 100 gol dan tujuh bolos, malah memahat sejarah dalam saingan bola sepak tempatan apabila menjadi juara buat kali ke-10 berturut-turut di Liga Super serta membolot semua trofi dipertandingkan dalam Liga M 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN