PETALING JAYA: Selangor FC mungkin gagal menjulang trofi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) tetapi skuad Red Giants meninggalkan Buriram dengan bermaruah selepas mempamerkan aksi berani di Arena Chang, kelmarin.
Kekalahan 2-1 pada final kedua itu menyaksikan Selangor tewas 3-1 secara agregat sekali gus menutup impian mereka untuk meraih gelaran serantau pertama dalam sejarah kelab.
Bagaimanapun, pengendali Selangor, Kim Pan-gon tetap bangga dengan karakter dipamerkan pemainnya yang tidak gentar mengasak juara bertahan itu di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.
“Kami mahu pemain menunjukkan identiti permainan mereka kerana mereka mewakili penyokong Selangor dan saya bangga mereka berjaya mengekalkan karakter itu walaupun menentang pasukan yang sangat kuat.
“Beraksi di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah tetapi pemain menunjukkan keyakinan dan semangat juang tinggi sepanjang permainan,” katanya.
Tersentak dengan kekalahan 1-0 di Kelana Jaya minggu lalu, Selangor turun dengan pendekatan lebih agresif apabila berani menekan Buriram sejak awal permainan bagi memburu jaringan penyamaan agregat.
Beberapa peluang awal berjaya dicipta, namun ketangkasan bekas penjaga gol Liga Perdana Inggeris, Neil Etheridge menggagalkan hasrat Selangor untuk berada di depan lebih awal.
Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Syahir Bashah meledak rembatan jarak jauh pada minit ke-18 sekali gus menghidupkan semula harapan Red Giants selepas agregat kembali terikat 1-1.
Namun pengalaman luas Buriram dalam aksi pentas besar menjadi pemisah apabila Suphanat Mueanta dan Theerathon Bunmathan meledak dua gol penting untuk memastikan trofi terus kekal di Thailand.
Dalam masa sama, Pan-gon menganggap aksi final tersebut sebagai petanda positif bahawa Selangor semakin matang dari sudut taktikal serta disiplin permainan ketika berdepan kelab elit Asia Tenggara.
“Kami cuba memperbaiki beberapa perkara dari segi taktikal dan saya fikir pemain berjaya melaksanakannya dengan baik malah corak bertahan kami juga lebih tersusun berbanding sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










