PETALING JAYA: Perebutan jawatan ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara menjadi semakin sengit setelah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyenarai pendekkan empat calon untuk posisi itu.
Antaranya adalah jurulatih kebangsaan Indonesia, Dharma Raj Abdullah dan bekas pengendali negara, Sarjit Singh.
Mereka akan bersaing dengan dua lagi calon luar negara terdiri daripada Brendan Caralon yang sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu jurulatih kepada Arul Selvaraj serta Glen Turner, bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 yang pernah membantu The Speedy Tigers untuk menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 Oktober lalu.
Malangnya Arul yang turut memohon semula untuk jawatan ini tidak berjaya melepasi tapisan akhir oleh Jawatankuasa Kejurulatihan yang bersidang hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah menjelaskan kata putus siapa yang bakal mengisi kekosongan jurulatih hoki negara akan dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.
“Daripada luar negara 18 orang, jurulatih tempatan lima, keseluruhan 23 jurulatih memohon dan kami menyenaraikan empat calon. Dua calon jurulatih tempatan dan dua calon jurulatih luar negara.
“Kami akan adakan sesi temuduga dan memilih satu jurulatih dan akan syorkan kepada pihak MHC untuk membuat keputusan akhir. Brendan dan Turner akan ditemuduga secara zoom (dalam talian menggunakan applikasi Zoom) dan berkenaan gaji kita akan bincang kemudian. Mereka yang terpilih akan diberikan kontrak empat tahun dengan pilihan dua tahun tambah dua tahun,” kata Majid yang ditemui media hari ini.










