Dharma ada misi belum selesai dengan Speedy Tigers

Dharma ada misi belum selesai dengan Speedy Tigers

Muhammad Dharma Raj Abdullah antara empat nama yang disenarai pendek untuk jawatan ketua jurulatih hoki negara. (FOTO: ihsan Shah Bekson)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih hoki berpengalaman, Dharma Raj Abdullah tidak menyangka dia mampu menjadi empat calon akhir untuk jawatan ketua jurulatih hoki kebangsaan biarpun ada episod suram dengan Malaysia.

Dharma menjadi antara watak penting ketika Indonesia membenam skuad negara untuk meraih pingat emas hoki dalam dewan di Sukan SEA Kemboja Mei lalu, sekaligus mencalarkan reputasi Malaysia sebagai gergasi hoki Asia Tenggara.

Justeru dia mengakui terkejut namun memuji sikap profesional yang ditampilkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang mengenepikan sentimen itu bagi memberi peluang untuk dirinya berbakti semula kepada tanah air.

Dharma bakal bersaing dengan bekas pengendali kebangsaan, Sajit Singh dan dua lagi calon luar negara iaitu Brendan Caralon dan Glen Turner yang berperanan sebagai pembantu kepada Arul Selvaraj sebelum ini.

“Apabila ketika saya memohon tempohari, hanya ada beberapa orang jurulatih tempatan sahaja yang memohon. Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk dipanggil ke peringkat seterusnya kerana diberitahu KHM hanya akan menyenarai pendek lima orang sahaja.

“Tetapi kini ia dipendekkan lagi menjadi empat orang calon sahaja. Saya rasa ketika saya memohon, KHM pun sedar tentang episod suram yang lalu yang saya tidak ingin bincangkan.

“Untuk aksi perlawanan akhir hoki dalam dewan Sukan SEA, saya tiada sebarang sentimen. Sebagai jurulatih, saya rasa gembira kerana mampu bawa Indonesia menang dan mengatasi pasukan besar seperti Malaysia,” kata Dharma kepada Utusan Malaysia.

Jika dia berjaya mendapat jawatan tersebut, Dharma jelaskan ia bukan sahaja peluang terbaik untuknya kembali semula ke saingan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa, tetapi dia secara peribadi mempunyai misi yang belum dilunaskan bersama Speedy Tigers

Dharma pernah memegang tampuk sebagai ketua jurulatih hoki kebangsaan pada 2014, namun kedudukannya tidak bertahan lama apabila ‘direhatkan’ sejurus selepas kem Malaysia mempamerkan aksi buruk ketika kempen Sukan Komanwel Glasgow.

“Saya rasa sedikit kosong kerana kalau di Malaysia, akan ada peluang beraksi di pentas yang lebih tinggi seperti Sukan Asia, Piala Dunia, kelayakan Sukan Olimpik dan menentang pasukan-pasukan yang besar.

“Di Indonesia bagi saya okey, tetapi tumpuannya adalah berkisarkan Sukan SEA. Jujur saya tidak mempunyai masalah di sini, cuma pilihan yang saya ada sebagai jurulatih,” tambah Dharma.

Dharma yang mula berkhidmat dengan Persekutuan Hoki Indonesia sejak 2021 masih mempunyai kontrak dengan badan induk itu sehingga 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN