PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuat keputusan menarik diri daripada penentuan pingat gangsa acara pecut di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia sebentar tadi.
Kelibat Azizul tidak kelihatan ketika para pelumba diminta bersedia di garisan permulaan.
Sebaliknya, pesaing Azizul, Matthew Glaetzer keseorangan di atas trek, sebelum dia diumumkan sebagai pemenang pingat gangsa.
Emas milik pelumba Jepun, Kaiya Ota manakal Matthew Richardson meraih pingat perak.
Terdahulu, Azizul yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas acara keirin semalam menampilkan aksi memberangsangkan dengan menduduki tangga keempat ketika pusingan kelayakan pecut pada awal pagi ini.
Dia kemudian tidak berdepan masalah mengenepikan Christian Ortega dari Colombia untuk mara ke suku akhir.
Azizul meneruskan momentum itu dengan menumbangkan Carlin Jack untuk ke separuh akhir, namun Matthew Richardson menyekat perjalanan The Pocket Rocketman untuk ke final.
Rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom pula terkandas di pusingan kelayakan apabila menduduki tempat ke-32.










