Melaka mara ke suku akhir selepas benam Perak

Melaka mara ke suku akhir selepas benam Perak

PEMAIN Melaka, Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin menahan libasan perejam Perak, Haizam Huzairi dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Melaka terus mempamerkan watak ‘kuasa baharu’ dalam sukan sepak takraw apabila mencipta kemenangan ketiga berturut-turut setelah menumpaskan Perak 3-0 pada aksi Kumpulan D, Piala Emas Khir Johari, hari ini.

Menurunkan trio kebangsaan, Syahir Rosdi, Mohd. Khairul Zaman Hamir Akhbar dan Mohd. Muqlis Borhan sebagai Regu A, Melaka bagaimanapun dipaksa berhempas pulas pada awal permainan sebelum mendahului kedudukan 1-0.

Pada kedua-dua set, trio Perak diketuai perejam kebangsaan, Muhammad Noraizat Mohd. Nordin bersama Meor Zulfikar Mat Amin dan Zulhusni Basri cuba memberi saingan namun terpaksa akur dengan kekalahan 18-21, 21-23.

Dalam saingan Regu B yang menampilkan pemain bawah 21 tahun, Melaka dihukum pada set pertama apabila tewas 16-21 sebelum mereka bangkit mencipta kemenangan 21-12, 21-15.

Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Zaim Razali pula diturunkan Melaka sebagai Regu C untuk berdepan lawan dari Perak iaitu Faris Syahmi, Sholihin Abd. Halim dan Muhaimin Othman.

Bagaimanapun, Melaka tidak berdepan masalah untuk menewaskan pasukan yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023, tahun lalu apabila menang 21-12, 22-20.

Kemenangan 3-0 itu sekali gus menepati ramalan Melaka sebagai pasukan pilihan ke peringkat lapan terbaik.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, para pemain sentiasa berusaha untuk memastikan kemenangan pada setiap perlawanan.

“Kita lihat dalam perlawanan bertemu Perak ini, regu pertama diberi tentangan sengit tapi Alhamdulillah pemain boleh menyerap tekanan yang diberikan regu lawan hingga kita capai kemenangan termasuk regu belia.

“Kemenangan ini bukan kayu pengukur untuk kami berbangga tapi kami harus berusaha untuk mencapai kemenangan seterusnya agar akhirnya akan dapat menggapai apa yang kita inginkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya