Jadikan Piala Asia 'kemestian' buat Harimau Malaya

Jadikan Piala Asia ‘kemestian’ buat Harimau Malaya

KEJAYAAN menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit memberi sinar baharu kepada arena bola sepak negara. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh mencabar skuad Harimau Malaya untuk menjadikan penyertaan ke Piala Asia selepas ini sebagai kewajipan tanpa perlu menunggu tempoh masa yang lama lagi.

Kejayaan menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit telah memberi satu sinar baharu dalam arena bola sepak negara.

“Malaysia mesti berusaha untuk memastikan kelayakan melalui merit selepas 43 tahun bukanlah satu keajaiban. Kita mesti menjadikannya sebagai suatu kemestian dalam setiap Piala Asia,” tulisnya dalam hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasminya.

Dalam pada itu, Hannah juga meminta para pemain memanfaatkan peluang bertemu Korea Selatan untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin.

Jelasnya, kesempatan menentang pasukan 23 dunia itu tidak sering berlaku, dengan kali terakhir berdepan skuad utama Korea Selatan pada 1989 yang menyaksikan Malaysia tewas 3-0.

“Sekarang ini saya akan terbang balik ke KL dari Doha. Walaupun Harimau Malaya tidak mara ke pusingan seterusnya dalam Piala Asia 2023, namun mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa menentang pasukan yang jauh lebih kuat.

“Menentang Korea minggu ini (esok) pastinya akan membantu para pemain kita memperolehi pengalaman yang tidak ternilai. Setiap perlawanan, peminat hanya mahu melihat para pemain kita memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Hannah turut mengingatkan anak-anak buah Kim Pan Gon supaya tidak menganggap kegagalan di Piala Asia sebagai penamat segala-galanya kerana perjalanan yang masih panjang.

“Piala Asia bukanlah penamat segala-galanya. Ini kerana masih banyak lagi yang perlu ditempuhi bermula Mac depan, termasuk Piala Asia seterusnya dan kelayakan Piala Dunia pusingan akhir peringkat Asia,” katanya.

Dalam masa sama, Hannah yang juga berada di Stadium Jassim Bin Hamad turut mengucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya serta penyokong Malaysia yang disifatkannya sebagai penyokong berkelas dunia kerana sentiasa berada di belakang pasukan tanpa mengira keputusan perlawanan.

“Terima kasih khas buat Ultras Malaya kerana telah menunjukkan kepada saya, betapa mereka adalah penyokong setia berkelas dunia menang atau kalah, mereka kekal melaungkan sorakan dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh rasa bangga,” jelasnya.

Malaysia akan melengkapkan aksi Kumpulan E bertemu Korea Selatan, esok di Stadium Al Janoub dalam usaha sekurang-kurangnya mencari satu mata dan gol pertama di kejohanan tertinggi Asia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN