FAM nilai prestasi Harimau Malaya di Piala Asia 2023

FAM nilai prestasi Harimau Malaya di Piala Asia 2023

PEMAIN Harimau Malaya meraikan jaringan penyamaan Romel Morales (bawah) ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sanggup memikul tanggungjawab dan tidak menyalahkan mana-mana pemain menjadi antara faktor keharmonian yang diterapkan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dalam skuad Harimau Malaya.

Meskipun ada beberapa percaturan dan taktikalnya tidak menjadi sehingga menyebabkan kekalahan namun Pan Gon tetap mempertahankan barisan pemain, selain tampil meletakkan dirinya sebagai punca utama.

Buktinya dapat dilihat selepas pasukan tewas 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia di Qatar, pengendali dari Korea Selatan itu meminta peminat menyalahkan dirinya susulan keputusan buruk tersebut.

Beliau juga sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya sentiasa berjuang demi lencana di dada untuk membanggakan jutaan peminat tanah air.

“Bila kita kalah jangan salahkan mana-mana (pemain). Saya punya kenyataan konsisten (tidak menyalahkan pemain), bila kalah kepada Tajikistan sebelum ini (di final Pestabola Merdeka, Oktober tahun lalu), pemain agak gembira.

“Saya fikir ini bukan masa kenapa Arif Aiman (Hanapi) tak jaringkan gol, mengapa bocor dan mengapa Syihan (Hazmi) tak halang. Dalam bola sepak bila kalah adalah disebabkan kelemahan kita, tapi kita perlu pandang secara keseluruhan.

“Pasukan ini perlu kembali balik (bangkit), dan kita bukan hanya asyik menang sahaja, ada masa kita kalah. 

“Jadi kita kena bangkit balik dan semua pihak kena sokong pasukan,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tentang Pan Gon.

Dalam pada itu, badan induk bola sepak itu akan melakukan penilaian penuh terhadap prestasi keseluruhan skuad Harimau Malaya sepanjang Piala Asia 2023.

Jelas Hamidin, ia adalah proses biasa seperti yang dilakukan dalam setiap pertandingan disertai skuad kebangsaan dan jurulatih akan membuat laporan kepada jawatankuasa berkenaan.

Langkah itu bagi melihat dan memberi input apa penambahbaikan perlu dilakukan atau mengenal pasti mengapa punca keputusan tertentu dicatat skuad kebangsaan.

Antara tumpuan utama penilaian itu nanti, kemungkinan besar terarah kepada kekalahan dua aksi awal dalam Kumpulan E ketika menentang Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) yang menyebabkan Harimau Malaya tersingkir awal.

Bagaimanapun, terdapat juga laporan yang bagus daripada skuad kebangsaan apabila Harimau Malaya menutup kempen Piala Asia mereka dengan keputusan luar jangka apabila mengikat pasukan gergasi, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir kumpulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya