PETALING JAYA: Kejayaan Harimau Malaya mengikat Korea Selatan dalam aksi Kumpulan E Piala Asia, semalam membuktikan pemain skuad negara boleh bersaing di peringkat antarabangsa.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, keputusan dalam pertembungan dengan pasukan ranking ke-23 dunia itu adalah hasil usaha keras pemain yang tidak kenal erti penat dan berjuang hingga wisel penamat.
Bagaimanapun, Pan Gon mengakui bahawa Korea Selatan tetap berada pada tahap yang berbeza dengan pemain Harimau Malaya yang bergelut untuk mengimbangi serangan skuad bimbingan Jurgen Klinsmann.
“Tahniah kepada pemain dan rakyat Malaysia, kami menghargai semua sokongan daripada kerajaan, FAM, kelab, pemain dan rakyat Malaysia. Ia perlawanan yang hebat dan sangat sukar bagi kami.
“Bagi kami ia adalah hasil yang hebat. Saya menghargai sokongan yang kami ada dan saya berterima kasih kepada semua pemain atas apa yang telah mereka lakukan,” kata Pan Gon.
Reputasi gergasi Asia selaku pasukan Piala Dunia serta berada di kedudukan ranking ke-23 dunia tidak menggerunkan pemain negara yang tetap berjuang hingga wisel penamat sebelum Romel Morales muncul penyelamat dengan gol ketiga di masa kecederaan.
Sementara itu, Pan Gon mengakui dia berdepan detik sukar untuk memberikan motivasi kepada pemain selepas Harimau Malaya terlepas sasaran mara ke pusingan 16 selepas kecundang dalam dua perlawanan awal kepada Jordan dan Bahrain.
“Saya berbangga dengan semua pemain. Pada separuh masa pertama, kami bergelut tetapi pada separuh masa kedua, kami bangkit. Kami di atas, kemudian kami di bawah dan kami menamatkan dengan gol penyamaan.
“Ia adalah persembahan dan keputusan yang menakjubkan. Korea Selatan mempunyai kualiti dan kuat dalam penguasaan bola.
“Kami merasai tahap tertinggi dalam permainan, kami merasakannya, kami menangani ketakutan, kami memperoleh banyak dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk langkah seterusnya,” katanya. – UTUSAN