NEWCASTLE: Manchester United terus dirundum malang apabila tewas tipis 1-0 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung awal pagi tadi.
Tempohari, nasib mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah seakan berada di hujung tanduk selepas diikat seri oleh Galatasary 3-3 dalam aksi Kumpulan A sekaligus menyukarkan peluang Red Devils untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
Keputusan itu seakan-akan masih lagi menghantui anak-anak buah Erik ten Hag ketika bertandang ke St. James Park apabila diasak betubi-tubi oleh Newcastle sejurus wisel perlawanan dibunyikan.
Bagaimanapun kali ini, penjaga gol Manchester, Andre Onana beraksi baik apabila menafikan beberapa percubaan merbahaya tuan rumah.
Kieran Trippier hampir memecahkan kebuntuan jaringan dalam perlawanan ini, namun sepakan percuma diambilnya pada minit ke 38 hanya menggegar palang Manchester.
Aksi di babak kedua tiada bezanya apabila memperlihatkan jentera serangan Newcastle terus bernafsu untuk mendapatkan jaringan.
Penantian itu berakhir apabila berpunca dari satu serangan, Anthony Gordon mudah menolak masuk hantaran Trippier untuk gol pertama perlawanan pada minit ke 55.
Gol tersebut menyemarakkan lagi semangat anak-anak buah Eddie Howe untuk menggandakan jaringan, namun mereka gagal menyudahkan peluang yang terhidang.
Drama terus menyelubungi perlawanan ini apabila jaringan Antony pada penghujung perlawanan dibatalkan setelah video bantuan pengadil (VAR) mendapati kapten pasukan, Harry Maguire berada dalam kedudukan ofsaid.
Biarpun perlawanan diberikan masa tambahan sehingga sembilan namun tiada pertambahan jaringan dapat dihasilkan sekaligus kemenangan 1-0 berpihak kepada Newcastle.
Keputusan meletakkan Newcastle berada di tempat kelima liga dengan 26 mata, manakala Manchester berada di tangga ketujuh dengan meraih 24 mata.