PSM akur sepak takraw guna 15 mata

PSM akur sepak takraw guna 15 mata

MOHD. SUMALI REDUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akur dengan keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) yang memutuskan untuk menggunakan sistem kiraan 15 mata dengan penggiliran servis setiap satu berkuatkuasa 1 Februari depan.

Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, pihaknya tidak akan menghantar surat bantahan, namun akan berbincang dengan Istaf bagi mengekalkan sistem kiraan 21 mata sekiranya mempunyai peluang berbuat demikian dalam perjumpaan pada masa akan datang.

Mohd. Sumali berkata, PSM merasakan sistem kiraan mata baharu itu tidak bersesuaian kerana berkemungkinan besar tidak memberi kepuasan kepada pemain berada di gelanggang serta penonton kerana perlawanan akan berlangsung dalam tempoh yang singkat.

“PSM sudah memberi cadangan (sistem 21 mata dengan satu servis), tetapi keputusan pun sudah dibuat. Jadi, kita kena ikut dan akur dengan keputusan Istaf untuk menggunakan sistem 15 mata. Bagaimanapun, jika ada ruang dan peluang perjumpaan dengan Istaf saya akan sekali lagi suarakan perkara ini.

“Kita pernah mencuba kiraan 15 mata cuma bezanya kita tidak buat tiga servis dan ia sudah diperhalusi kerana tidak bersesuaian memandangkan masa terlalu pendek dengan keunikan atau seni sepak takraw akan hilang,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Sumali berkata, Kejohanan Asia di Korea Selatan pada April tahun depan dijangka menjadi kejohanan pertama yang menggunakan sistem kiraan mata baharu sebelum diikuti dengan Piala Dunia Sepak Takraw ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada Mei.

Ditanya sama ada sistem kiraan mata itu akan memberi kelebihan kepada skuad negara, Mohd. Sumali berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan perkara itu memandangkan semua negara juga masih dalam dilema berhubung perubahan tersebut.

“Kelebihan?. Semua tidak tahu kerana Thailand, Indonesia dan mana-mana negara lain juga mungkin tidak tahu kerana perkara ini diputuskan dalam masa singkat. Mahu tak mahu, kita kena terima dan berlatih dengan sistem baharu ini untuk memastikan pasukan kebangsaan tidak ketinggalan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Istaf pada 8 Disember lalu telah memutuskan sistem kiraan 15 mata bagi semua kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari tahun depan.

Abdul Halim berkata, sistem kiraan 15 mata yang dikembalikan semula Istaf mampu menjimatkan tempoh perlawanan, prihatin dengan kebajikan pengadil dan menambah bilangan perlawanan dalam sehari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya