Aliran trafik WCE dijangka meningkat, libatkan 150,000 kenderaan

Aliran trafik WCE dijangka meningkat, libatkan 150,000 kenderaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aliran trafik di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka meningkat dengan anggaran lebih daripada 150,000 kenderaan sehari.

Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengguna, pihaknya akan menangguhkan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong, kecuali bagi kerja kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

Selain itu, jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuhraya manakala Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta petugas peronda turut diperkukuh bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan selama 24 jam.

“Langkah proaktif berkenaan diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani segera sekaligus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik Utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan, pengguna turut disarankan untuk memanfaatkan versi terkini aplikasi mudah alih WCE yang menyediakan navigasi laluan, maklumat lokasi kemudahan termasuk stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal, telefon kecemasan, bantuan kecerdasan buatan (AI) serta maklumat trafik masa nyata.

Sementara itu katanya, sistem PayDirect Touch ‘n Go turut disediakan di semua plaza tol WCE bagi membolehkan caj tol ditolak terus daripada baki e-dompet tanpa perlu menambah nilai kad secara manual.

Katanya, WCE turut menyediakan enam Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lengkap dengan kemudahan asas seperti kawasan parkir, surau dan tandas selain gerai makanan di beberapa lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior arah utara dan selatan serta R&R Bukit Kapar arah utara.

“Dalam tempoh pergerakan trafik yang tinggi ini, kami menasihatkan semua pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan aspek keselamatan pada setiap masa.

“Dengan sokongan kemudahan digital dan kesiapsiagaan operasi, WCE komited memastikan pengalaman perjalanan lebih selamat dan efisien,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN