Peluang Terengganu tetap ada - Steinbruckner

Peluang Terengganu tetap ada – Steinbruckner

SKUAD Terengganu FC menjalani latihan ringan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang JDT, malam ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) menyedari peluang untuk mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir Piala Malaysia tetap ada walaupun di atas kertas skuad Harimau Selatan adalah pasukan pilihan.

Ramalan itu bagaimanapun boleh diubah dengan syarat barisan pemain Sang Penyu tampil dengan aksi jauh lebih baik berbanding pertembungan sebelum ini jika berhasrat untuk merangkul piala berprestij itu buat kali kedua selepas memenanginya pada 2001.

Bagi pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mengakui skuad Harimau Selatan adalah pasukan pilihan namun dalam bola sepak, segala kemungkinan boleh terjadi.

“Kita tahu apa yang perlu kami lakukan untuk mengharungi aksi final ini. Fokus utama adalah untuk memperagakan aksi lebih baik selain mengharapkan sedikit tuah berpihak kepada kita.

“Untuk menentang pasukan yang lebih baik dari segi kualiti dan kemahiran individu, kita perlu lebih kuat, lebih kompak dan lebih agresif. Kita tidak boleh bermain dengan mudah untuk bola sepak moden.

“Kita tidak memiliki bintang seperti JDT tetapi kita pun ada kualiti tersendiri dan perancangan kita. Kita perlu sentiasa berada pada kelajuan yang tinggi selain memberi cabaran lebih baik.

“Kita boleh menang secara berpasukan dan kita perlu berada pada tahap yang benar-benar terbaik untuk menjayakan perancangan kita,” kata Tomislav pada sidang media praperlawanan di SNBJ, semalam.

Jurulatih dari Croatia itu juga menuntut anak buahnya supaya tidak menyerah awal meskipun JDT dilihat memiliki banyak kelebihan untuk mempertahankan trofi dimenangi mereka tahun lalu.

“Apa yang boleh saya janjikan adalah kami akan memberikan usaha semaksimum mungkin dan buktikan kemampuan kita di atas padang. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita memulakan perlawanan esok (malam ini).

“Tiada sesiapa daripada pasukan kita yang patut takut kerana kita tidak akan rugi apa-apa,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai keadaan padang, Steinbruckner berharap keadaan padang akan bertambah baik sebelum sepak mula perlawanan akhir itu.

Dalam dua aksi Liga Super sebelum ini menyaksikan Terengganu mengalami kekalahan dalam kedua-dua perlawanan iaitu tunduk 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim dan tewas 1-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya