Pecutan akhir atlet Malaysia layak ke Olimpik Paris 2024

Pecutan akhir atlet Malaysia layak ke Olimpik Paris 2024

HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) dan Nicol David (kiri) berswafoto dengan pemain badminton dalam lawatan ke Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan atlet negara mempunyai tempoh kurang lima bulan sahaja lagi bagi memburu slot secara merit untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) memberi gambaran sekitar 30 hingga 35 orang atlet negara akan memperkuatkan kontinjen Malaysia bagi edisi kali ini.

Namun, jumlah itu tidak termasuk dengan skuad hoki negara yang akan beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman pada Januari depan.

Skuad berbasikal trek negara yang ditunjangi Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Shahrom dan Mohd Fadhil Zonis pula terpaksa menanti sehingga 14 April depan bagi mengetahui status mereka ke temasya itu berdasarkan ranking Olimpik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Bagi skuad badminton negara, impian untuk melihat dua wakil untuk kesemua lima acara dipertandingkan akan menjadi sengit menjelang tarikh akhir kelayakan pada 28 April depan.

Ini tidak termasuk dengan acara-acara lain seperti terjun, renang, pelayaran, angkat berat, olahraga malahan ping pong juga akan mengharungi slot kelayakan ke Paris apabila mereka akan beraksi di Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2024 di Busan pada Februari depan.

“Kita boleh tunggu pada April atau Mei depan untuk melihat gambaran jelas mengenai harapan saya di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, bukan mudah untuk kita meraih pingat emas pada edisi 2024 kali ini dan ia lebih sukar kerana kita tidak pernah menggenggam emas.

“Namun, semua pihak perlu berusaha sehingga hari pertandingan dan biar takdir yang menentukan,” jelas ketua kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Setakat ini, Malaysia sudah pun mempunyai lima wakil yang telah pun mengesahkan tempat ke Paris 2024 antaranya Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict Lises (terjun),  Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).

Ditanya tentang prospek emas, Hamidin berkata, beliau masih belum dapat menamakan sandaran utama negara biarpun wujudnya Program Road to Gold (RTG) yang dikhususkan untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

“Jika dilihat mengenai potensi, Azizulhasni yang paling dekat disusuli dengan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Cuma, Aaron-Wooi Yik belum stabil kerana sering terkandas di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini dan kita harap mereka berada di puncak prestasi pada temasya itu nanti,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya