PETALING JAYA: Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagi merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan akan datang.
Menurut Hamidin, fokusnya ketika ini adalah untuk kekal dengan jawatan Presiden Kehormat selepas dilantik pada tahun lalu kerana dengan tugas lebih mudah, hanya memberikan nasihat kepada badan induk sukan No. 1 negara itu.
Bagaimanapun, Hamidin mengakui jika ada ahli gabungan mencalonkan namanya pada kongres kelak, kemungkinan untuk bertanding masih ada tetapi mahu mendapatkan restu keluarga terlebih dahulu.
“Saya masih belum memikirkan lagi, tapi dalam hati saya kalau ada individu yang betul-betul bagus (boleh jadi presiden), bagus daripada saya, kenapa tidak (beri laluan kepada yang layak), saya akan gembira.
“Sebagai Presiden Kehormat pun saya gembira sebab saya juga banyak tugas dekat FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan dengan FAM pun (banyak) saya bantu.
“Kita serah kepada ahli gabungan, kemudian nanti kalau betul ada orang mencalonkan saya, saya akan fikir balik. Namun, yang penting sebelum saya buat keputusan, saya mesti dapat restu daripada isteri dan anak-anak saya. Itu yang penting,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamidin mengakui sudah tidak terdesak untuk kejar jawatan selepas memilih tidak pertahankan jawatan Presiden FAM yang disandang pada 2018 hingga Februari 2025 untuk memberi laluan kepada Datuk Joehari Mohd Ayub.
“Ia kerana ini (kerusi presiden) bukan saya nak kejar, saya sudah ada (merasai) tempat ini. Jadi kalau ada orang lain (yang layak), lagi bagus. Maknanya saya langsung tak fikir lagi,” katanya.
Sebagai rekod, FAM dijangka membuat Kongres Pemilihan pada September depan selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) meletakkan jawatan pada Januari lepas.-UTUSAN










