MANCHESTER: Nasib berbeza dihadapi dua pasukan Manchester untuk aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi apabila Red Devils lebih unggul untuk atasi Chelsea, manakala penyandang juara, Manchester City tumbang mengejut kepada Aston Villa.
Di kem United, mereka terpaksa melupakan beberapa kontroversi prestasi yang menyelubungi pasukan itu ketika turun ke padang berentap dengan Chelsea.
Anak buah Erik ten Hag berjaya menampilkan watak yang cukup berbeza apabila melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Chelsea sejak wisel permainan dibunyikan.
Mereka seharusnya di hadapan seawal minit ke lapan apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti setelah Antony dikasar, namun sepakan Bruno Fernandes berjaya ditepis penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
United akhirnya didepan apabila Scott McTominay melepaskan rembatan kaki kiri pada minit ke 19.
Begitupun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Chelsea sempat mengikat kedudukan sebelum separuh masa pertama menerusi Cole Palmer yang berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan United untuk merembat kencang bola menewaskan Andre Onana di gawang pada minit ke 44.
Aksi semakin rancak di babak kedua apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan.
United kembali di depan setelah McTominay lebih laju menyambar bola hantaran Alejandro Garnacho pada minit ke 69, dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, City yang dibimbing Pep Guardiola menelan perit keciciran mata setelah tumbang 1-0 kepada Aston Villa.
City yang bertandang Villa Park dalam usaha memberikan tekanan buat pendahulu liga, Arsenal. Begitupun Citizens buntu untuk menembusi gawang Villa, sebaliknya tuan rumah mencipta kejutan apabila rembatan Leon Bailey pada minit ke 74 terkena pertahanan City dan membias masuk ke dalam gawang untuk menewaskan Ederson.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan yang menyaksikan City terjatuh ke tangga keempat liga dengan 30 mata, dipintas Villa ditempat ketiga dengan 32 mata.