Kedudukan jurulatih, pemain Negeri Sembilan belum diputus

Kedudukan jurulatih, pemain Negeri Sembilan belum diputus

SKUAD Negeri Sembilan (jersi merah) belum memuktamadkan jurulatih dan pemain yang akan membawa cabaran Liga Malaysia 2024. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC dijangka membuat beberapa pertukaran di peringkat pengurusan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, pertukaran tersebut termasuklah bagi kedudukan jawatan ketua pegawai eksekutif pasukan tersebut.

“Seorang individu muka baharu akan ditampilkan untuk jawatan CEO namun ia bergantung juga kepada keputusan muktamad pengurusan tertinggi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kata sumber itu, kedudukan pemain dan barisan kejurulatihan juga belum lagi ditentukan.

Namun jelas sumber tersebut, kesemua kontrak pemain import yang beraksi pada musim yang berakhir baru-baru ini telah pun tamat.

“Semua pemain import telah pun tamat kontrak, bagi kedudukan pemain selain ketua jurulatih untuk musim hadapan juga belum dimuktamadkan,” katanya.

Baru-baru ini, pengendali pa­sukan Negeri Sembilan FC, K. Devan menyatakan hasratnya untuk terus mengendalikan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Jurulatih berasal dari Bahau, Jempol itu memaklumkan ada menerima tawaran beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya namun menjelaskan keutamaan diberikan kepada Negeri Sembilan.

Mengakhiri 26 perlawanan secara keseluruhan dalam Liga Super 2023, Negeri Sembilan berada di tangga kesembilan de­ngan 27 mata hasil enam kemenangan dan sembilan seri.

Ia merupakan kemerosotan prestasi berbanding musim 2022 apabila pasukan Hoben Jang Hoben itu menduduki tangga keempat Liga Super. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN