Janji Hamidin, cari pasukan terbaik lawan Harimau Malaya

Janji Hamidin, cari pasukan terbaik lawan Harimau Malaya

PEMAIN Harimau Malaya perlu lawan yang lebih baik untuk persediaan ke Piala Asia Qatar tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berusaha keras mencari lawan setanding bagi memastikan Harimau Malaya benar-benar bersedia mengharungi kempen Piala Asia 2023 di Qatar, bulan hadapan.

Usaha itu dilakukan sendiri oleh presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan beliau mengakui pihaknya sedang berusaha untuk mencari satu atau dua lagi aksi persahabatan, selain pertemuan dengan Syria yang telah disahkan.

Antara negara yang berpotensi menjadi lawan Malaysia adalah pasukan di ranking 58 dunia yang juga pasukan tuan rumah Piala Asia, Qatar.

Katanya, walaupun peluang itu tipis kerana kebanyakan negara sudah mempunyai lawan masing-masing, Hamidin akan berusaha sehingga minggu depan untuk memastikan persiapan anak buah Kim Pan Gon berada di tahap optimum sebelum bermain di Piala Asia.

“Kalau ikutkan dengan (lawan) Syria dah ‘confirm’. Arab Saudi sebelum ini memang kita sudah hantar surat dan ‘confirm’, tapi jurulatihnya tidak mahu disebabkan kemungkinan boleh bertemu pada pusingan 16 terbaik Piala Asia.

“Kita tengah cari sekarang dan hampir ke semua pasukan sudah sedia dan ada lawan mereka, takkan kita nak lawan pasukan lebih bawah.

“Kita sedang cuba satu atau dua lagi kalau dapat, kita tengok potensi macam Qatar dan satu lagi pasukan, tapi mungkin susah sikit. tapi kita sedang usaha dalam minggu ini atau hingga minggu depan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan aksi bertemu Arab Saudi terpaksa dibatalkan.

Perlawanan pemanas badan itu yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari depan dibatalkan atas permintaan pengendali baharu Arab Saudi, Roberto Mancini.

Tindakan bekas jurulatih Itali itu kerana beliau membuat congakan bahawa pasukan kendaliannya itu berkemungkinan besar bertemu Malaysia seawal pusingan 16 terbaik, sekaligus enggan meneruskan aksi berkenaan.

“Syria itu bukan perlawanan dalam kalendar FIFA, tapi saya dah bincang dengan jurulatih (Pan Gon) dua hari lepas, dia cakap satu pasukan pun sudah cukup tapi kalau dapat dua pun ‘OK’.

“Tapi kita cuba nak cari satu lagi kalau dapat,” kata Hamidin di mana kalendar aksi antarabangsa adalah sehingga 6 Januari sahaja, di mana aksi menentang Syria dijadual pada 8 Januari nanti.

Malaysia yang layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas kali terakhir bersaing pada 1980 lalu di Kuwait dan diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Harimau Malaya akan membuka tirai kejohanan berdepan Jordan pada 16 Januari ini di Stadium Al Janoub sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN