Ivan Mamut tidak gerun JDT

Ivan Mamut tidak gerun JDT

IVAN Mamut (kanan) antara harapan Terengganu FC untuk mencipta kejutan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Status Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai gergasi bola sepak negara tidak menggerunkan penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut, menjelang aksi final Piala Malaysia, malam esok.

Pemain tinggi lampai kelahiran Croatia itu berkata, dia kini lebih bersedia menghadapi JDT selepas dua pertemuan dalam Liga Super sudah cukup memberi gambaran kualiti kedua-dua pasukan.

Malah menurut Mamut, insiden dilayangkan kad merah ketika bertemu lawan sama, Jun lalu, memberi pengajaran berguna untuk lebih berwaspada dengan helah dan provokasi pihak lawan.

Jelasnya, TFC perlu menampilkan corak permainan berdisiplin sekiranya tidak mahu dihukum JDT yang lebih berpengalaman beraksi di pentas tertinggi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Pada awal musim saya perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak dan budaya bola sepak di Malaysia sebelum menemui sentuhan jaringan.

“Suasana beraksi di perlawanan akhir piala domestik pastinya berbeza daripada saingan liga, jadi TFC masih berpeluang membawa pulang trofi yang kali terakhir dimenangi pada 2001 itu.

“Kejayaan melangkah ke final sudah membuktikan kemampuan kami namun TFC tidak akan berpuas hati sekadar muncul naib juara sebaliknya mahu membawa pulang trofi Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam musim pertamanya bersama TFC, Mamut menjadi ayam tambatan selaku penjaring terbanyak dengan 20 gol dalam semua pertandingan termasuk lapan dalam Piala Malaysia.

Pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun enggan dibandingkan dengan penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva, ketika kelibat dua pemain ini diramal menjadi penentu nasib pasukan masing-masing.

“Sudah tentu kemampuan penyerang akan diukur dengan jaringan namun dalam final, itu bukan keutamaan kerana kami mahu bergelar juara tidak kisah siapa pun menjadi penjaring gol.

“Ketua jurulatih (Tomislav Steinbruckner) pasti mempunyai percaturan paling ampuh untuk memerangkap JDT dan ianya perlu diterjemahkan oleh pemain-pemain dalam 90 minit atau lebih.

“Walaupun keadaan padang mungkin kurang ideal tetapi itu masalah sama dihadapi kedua-kedua pasukan, jadi hanya sedikit kesilapan mungkin boleh membawa padah,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya