Harimau mampu daki ranking 110 dunia

Harimau mampu daki ranking 110 dunia

SKUAD Harimau Malaya mampu mencapai sasaran menduduki tangga 110 dunia dalam senarai ranking FIFA pada tahun depan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan 15 anak tangga dalam tempoh setahun di bawah kendalian Kim Pan Gon meletakkan misi mendaki kedudukan 110 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bukanlah perkara yang mustahil.

Lanjutan kontrak yang ditandatangani Pan Gon sehingga 2025 dan perancangan teliti yang disusun jurulatih dari Korea Selatan itu, bakal menyaksikan lonjakan sekurang-kurangnya 20 anak tangga pada musim 2024 mampu direalisasikan.

Bagi bekas pemain bola sepak negara Datuk Richard Scully berpendapat, skuad Harimau Malaya ketika ini boleh dikatakan antara skuad terkuat dimiliki era ini.

Jelasnya, jika momentum dan prestasi terbaik mampu diterjemahkan pemain, mereka mampu melakukan kejutan pada aksi Piala Asia yang akan berlangsung bulan depan.

Taktikal dan buah fikiran Pan Gon mencatur corak permainan skuad Harimau Malaya sepanjang setahun membimbing pasukan itu menyaksikan Malaysia ketika ini berada di tangga 130 dunia.

“Kita perlu realistik berdasarkan kepada pencapaian dan kualiti permainan yang ditunjukkan barisan anak buah Pan Gon ketika ini. Jika prestasi ini berterusan, pasti membolehkan mereka mencapai ranking 110 dunia pada tahun depan.

“Pan Gon boleh mengawal dan mengatur pasukan tanpa campur tangan pihak lain sekali gus membantu membentuk skuad mantap untuk mengharungi perlawanan lebih besar seperti Piala Asia.

“Saya percaya, skuad Harimau Malaya akan menunjukkan peningkatan ranking lebih besar pada tahun depan sekali gus baik untuk meningkatkan taraf bola sepak negara,” katanya.

Terdahulu, Malaysia menamatkan tahun ini dengan nota cemerlang apabila muncul pasukan ketiga terbaik paling banyak meraih mata dalam ranking FIFA.

Berdasarkan ranking Disember dikeluarkan FIFA, skuad Harimau Malaya naik 15 anak tangga dalam ranking dunia sepanjang tahun ini untuk berada di kedudukan ke-130 dengan mengumpul 1,122.87 mata, iaitu peningkatan terbesar dalam kalangan negara Asia.

Panama melonjak dengan ketara pada 2023, setelah meningkat 20 anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-41 dalam ranking dunia, diikuti Moldova yang naik 19 anak tangga untuk berada di tempat ke-155.

Kedudukan terbaik skuad Harimau Malaya adalah di tempat ke-75 pada 1993, manakala kedudukan terendah pasukan negara ialah kedudukan ke-178 pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN