Pengusaha kerepek diserbu KPDN guna minyak masak bersubsidi

Pengusaha kerepek diserbu KPDN guna minyak masak bersubsidi

PENGUATKUASA KPDN menyita 288 paket minyak masak yang disimpan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan di Kampung Sungai Limau, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Premis memproses makanan ringan tempatan di Kampung Sungai Limau, di sini digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas didapati memiliki minyak masak peket tanpa kebenaran.

Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi, Ahad lalu dilakukan oleh empat anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Baling hasil risikan selama seminggu susulan aduan awam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan di premis kediaman yang dijadikan lokasi memproses kerepek itu menemukan sejumlah minyak masak peket yang dipercayai digunakan untuk tujuan menggoreng makanan ringan berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi tujuan menyimpan bekalan minyak masak tersebut.

“Pasukan serbuan kemudiannya menyita sebanyak 288 peket minyak masak polibeg 1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM720 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN