KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiga lelaki telah direman selepas didakwa mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, ketika beliau berucap di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perintah reman terhadap ketiga-tiga individu tersebut diperoleh selama tiga hari bermula hari ini.
Menurutnya, mereka ditahan dan disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melakukan hasutan, ugutan serta menceroboh.
“Siasatan masih dibuat dan permohonan reman telah dibuat terhadap tiga subjek berkenaan.
“Kita cuba melengkapkan siasatan dalam keadaan segera dan kita akan rujuk kepada perundangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Semalam, insiden kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku semasa Azam memberi ucapan pembukaan Wacana Ilmiah Perdana yang turut disertai Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Dua lelaki dilihat berjalan menuju ke arah Azam dan mengangkat sepanduk tanda tidak berpuas hati serta menjerit.-UTUSAN










