BUTTERWORTH : Pemilik-pemilik bengkel kenderaan khususnya yang berdaftar di Pulau Pinang disaran supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mengusahakan bengkel kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.
Pengerusi Persatuan Tuan-Tuan Empunya Bengkel Kereta Motor Pulau Pinang (PMVWOA), S.C. Lee berkata, hal ini demikian kerana, penggunaan EV dijangka terus meningkat dari setahun ke setahun sekali gus memerlukan lebih banyak bengkel khas untuk kenderaan tersebut.
Katanya, ketika ini, hampir semua kenderaan EV yang perlu diselenggara atau dibaiki terpaksa dihantar semula ke pusat pemeriksaan khas yang dilantik oleh pengedar kenderaan berkenaan.
“Saya difahamkan, berdasarkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, hanya terdapat dua bengkel EV berbanding kira-kira 2,803 unit kenderaan itu yang telah didaftarkan di Pulau Pinang sehingga Februari lalu.
“Jadi, kita kena terima hakikat bahawa dengan situasi krisis minyak yang semakin mahal ketika ini, EV akan menjadi satu keperluan untuk pengangkutan di Malaysia pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat dan dialog berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pendaftaran Bengkel EV bersama wakil JPJ Pulau Pinang serta wakil daripada beberapa agensi berkaitan di Pusat Konvensyen PICCA di sini, hari ini.
Tambah Lee, PMVWOA sentiasa komited dalam menyokong ahli-ahli untuk menghadapi perubahan industri ini selain mahu mereka mendapatkan maklumat yang tepat serta bertukar pandangan secara konstruktif dengan pihak yang berkenaan sebelum memulakan inisiatif tersebut.
Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkefly Ismail berkata, sambutan positif yang diterima daripada pengusaha bengkel dan pihak industri pada sesi taklimat dan dialog itu menandakan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem EV di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan SOP dijangka meningkatkan kesiapsiagaan bengkel tempatan dalam menghadapi perkembangan teknologi kenderaan elektrik, sekaligus memastikan perkhidmatan yang selamat, profesional dan berkualiti kepada pengguna.
“Dalam hal ini, JPJ kekal komited untuk membangunkan industri pembaikan EV secara teratur dan selamat, selaras dengan aspirasi negara dalam memacu teknologi hijau dan mampan,” katanya.-UTUSAN










