PETALING JAYA: Pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin mengakui kehadiran bintang-bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam Piala Asia 2023 bakal memberikan cabaran hebat untuk Malaysia.
Harimau Malaya akan berdepan Korea Selatan yang diketuai Son Heung Min, peledak berbisa Tottenham Hotspurs dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E pada 25 Januari depan.
Selain Heung Min, Korea juga akan diperkuatkan oleh pertahanan Bayern Munich, Kim Min Jae, perancang Paris Saint-Germain (PSG) , Lee Kang In dan pemain sayap Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee Chan.
“Sudah tentu sangat mencabar kerana terdapat pasukan yang berada pada ranking yang baik dalam Kumpulan E, terutamanya Korea Selatan, pasukan Piala Dunia. Kami kena bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk perlawanan itu.
“Pastinya akan menjadi satu cabaran yang besar, tetapi saya fikir kita semua sangat teruja untuk mencabar diri sendiri menentang mereka. Jurulatih selalu menyebut bahawa kita perlu menghormati lawan lain tetapi juga tidak boleh memberi muka.
“Kami menghormati diri sendiri, cuba bermain, melawan dan mencabar lawan supaya tidak memberi mereka banyak ruang untuk melakukan apa yang mereka mahu,” katanya ditemui pemberita di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.
Sementara itu, Wilkin turut berkongsi pesanan daripada ketua jurulatih, Kim Pan Gon yang mahu setiap pemain kekal fokus dalam kejohanan besar itu bagi memastikan impian Harimau Malaya dapat direalisasikan.
“Jurulatih berpesan agar menghormati lawan tetapi jangan terlalu memberi muka kepada mereka. Inilah perlawanan yang kami nantikan. Jordan dan Bahrain juga merupakan pasukan yang kuat dan kita tidak akan memandang rendah setiap pasukan lawan.
“Saya juga gembira melihat persaingan yang baik di bahagian tengah, pemain yang sangat berbakat di seluruh Malaysia. Mereka telah dipilih kali ini dan beberapa pemain yang ada sekarang miliki cukup pengalaman dan tahap kualiti yang tinggi,” katanya.
Harimau Malaya akan berlepas ke Doha esok bagi meneruskan latihan fasa kedua di Qatar dan anak-anak buah Pan Gon, akan bertemu Syria dalam perlawanan persahabatan pada 8 Januari membuka kempen Piala Asia 2023. – UTUSAN