Beri pemain muda lebih peluang beraksi di Liga Super

Beri pemain muda lebih peluang beraksi di Liga Super

JUAN Torres Garrido berlepas ke China bersama skuad Bawah 23 tahun semalam bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 2 di Shanghai, China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Memiliki pengalaman beraksi di pentas Liga Super, semestinya menjadi kelebihan buat pemain-pemain muda negara mempamerkan aksi lebih matang di arena antarabangsa.

Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23), Juan Torres Garrido berkata, situasi terbabit penting memandangkan saingan Liga Super lebih berintensiti tinggi sekali gus pemain B-23 dapat menyesuaikan diri beraksi di peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau berharap kelab-kelab utama akan diberikan lebih banyak peluang untuk pemain muda beraksi dalam saingan liga utama domestik itu pada musim depan.

Ketika ini hanya beberapa pasukan seperti Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak dan Terengganu mengambil pendekatan berkenaan dengan menyerap pemain muda mereka untuk beraksi bersama skuad senior meskipun terdapat kejohanan Piala MFL (B-23).

“Selangor adalah antara pasukan yang guna ramai pemain muda, begitu juga JDT, Perak dan Terengganu, saya rasa itu adalah penting apabila mereka beraksi di kejohanan antarabangsa, mereka boleh menyesuaikan diri.

“Untuk panggilan kali ini skuad dimiliki seperti ini, tapi pada masa hadapan mungkin kita dapat lihat pemain dari kelab lain lebih banyak, semuanya bergantung kepada situasi dan pemain yang ada,” katanya, ketika ditemui sebelum berlepas ke Shanghai, China, semalam.

Skuad muda negara itu dalam fasa persiapan untuk mengharungi Piala Asia B-23 April tahun depan dan dijadualkan melalui dua perlawanan antarabangsa Tier 2 di Shanghai menentang China B-23 pada 23 dan 26 Disember.

Tambah pengendali dari Sepanyol itu, menjelaskan pada awal musim ini beliau melihat tidak ramai pemain B-23 yang bermain di Liga Super namun pada penghujung musim dapat dilihat semakin ramai yang diberi peluang.

Kehadiran pemain berpengalaman di peringkat senior seperti Mukhairi Ajmal dalam skuad B-23 juga akan membantu barisan kejurulatihan merencanakan strategi untuk menguatkan lagi pasukan.

“Keutamaan pastinya kepada skuad senior kerana mereka sedang membuat persediaan untuk Piala Asia, tetapi kita berpeluang untuk mendapatkan pemain seperti Mukhairi.

“Nooa Laine pula sedang menjalani pramusim dengan pasukannya, memandangkan panggilan kem latihan kali ini bukan dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), dia tidak boleh sertai kami.

“Mana-mana pemain dari skuad senior yang boleh disenaraikan untuk skuad B-23, kami gembira untuk terima mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN