ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 4,000 penyokong kuat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga ahli Boys of Straits (BOS) akan berkampung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi memberi sokongan padu kepada pasukan mereka dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
Wakil BOS, Farihin Johari berkata, kira-kira 4,000 ahli BOS akan memalu gendang perang bagi meniup semangat juang pemain Harimau Selatan untuk melakar kejayaan menjulang Piala Malaysia 2023.
Katanya, tanggal 8 Disember ini akan tercatat dalam lipatan sejarah sekiranya JDT memenangi kejuaraan quadruple bagi dua musim berturut-turut.
“Oleh itu, adalah menjadi tugas BOS untuk mempamerkan semangat luar biasa memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi sepanjang 90 minit kepada pejuang Harimau Selatan.
“Kita mahu gegarkan SNBJ dan merentap semangat TFC yang berkongsi padang pada aksi final ini. Harapan kami hanya satu, JDT dinobatkan juara selepas wisel penamat ditiupkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Farihin, sebanyak 73 buah bas dari setiap daerah akan membawa ahli-ahli BOS menuju ke SNBJ dengan perjalanan konvoi bermula pukul 10 pagi.
Jumlah itu tidak termasuk penyokong yang bergerak sendiri serta penyokong JDT di sekitar Lembah Klang.
Katanya, sempena final ini, pihaknya akan memastikan para penyokong menjaga tatasusila, bersesuaian isu kemanusiaan yang menghimpit rakyat Palestin.
“Oleh itu, sebelum perlawanan, kita akan melakukan gimik menaikkan tifo gergasi yang membawa mesej isu sejagat itu,” katanya.
Menurutnya, tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir itu masih terjual membabitkan tiket berharga RM100 ke atas.
“Penjualan tiket yang agak perlahanan ini mungkin dipengaruhi situasi JDT yang saban tahun beraksi pada pentas final, saya yakin tiket akan habis terjual sebelum perlawanan berlangsung,” katanya. – UTUSAN