GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melaksanakan program ‘pemutihan’ bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) dalam usaha memastikan hanya yang benar-benar layak dapat terus menikmati kemudahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, langkah itu dibuat susulan terdapat penghuni yang didapati telah lama menetap sehingga melebihi tempoh ditetapkan selain tidak lagi memenuhi syarat kelayakan pendapatan.
Menurut beliau, berdasarkan rekod semasa, terdapat penghuni yang tinggal di PPR sehingga hampir 20 tahun walaupun skim sewaan itu sepatutnya bersifat sementara.
“Program pemutihan ini bertujuan memastikan keadilan kepada golongan yang masih menunggu dan benar-benar memerlukan rumah sewa kos rendah,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, kerajaan negeri telah menetapkan tempoh sewaan PPR selama tiga tahun dan tempoh itu boleh dilanjutkan sehingga maksimum enam tahun bergantung kepada keadaan ekonomi penghuni.
“Terdapat penyewa yang masih kekal walaupun pendapatan isi rumah mereka telah melebihi had kelayakan iaitu sekitar RM1,500 sebulan.
“Jika dahulu mereka layak, tetapi selepas bertahun-tahun pendapatan meningkat, mereka sepatutnya memberi laluan kepada golongan lain yang lebih memerlukan,” ujarnya.
Beliau berkata, ketika ini juga, kira-kira 30 hingga 40 peratus penghuni PPR di negeri ini dikenal pasti telah kehilangan kelayakan berdasarkan semakan termasuk data caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, notis berkaitan telah mula dikeluarkan kepada penghuni terlibat dengan tempoh tiga bulan diberi untuk mengosongkan unit masing-masing.
“Bagi kes tertentu seperti penghuni yang mempunyai masalah kesihatan atau kekangan serius, kita akan pertimbangkan secara kes demi kes dan beri lanjutan masa jika perlu,” katanya.
Sundarajoo berkata, berdasarkan data terkini, jumlah tunggakan sewa bagi PPR dan RSKN di Pulau Pinang juga telah mencecah lebih RM2 juta. – UTUSAN










