Suasana hiba menyelubungi pengebumian Presiden PKBM

Suasana hiba menyelubungi pengebumian Presiden PKBM

AHLI keluarga menyiram air dan menabur bunga di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Masjid Al-Abrar, Semabok, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suasana hiba dan sedih menyelubungi pengebumian Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Allahyarham Datuk Abu Samah Abd. Wahab di Tanah Perkuburan Masjid Al-Abrar, Semabok di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Pengebumian dihadiri kira-kira 800 ahli keluarga, sanak-saudara, pemimpin sukan, atlet, penduduk dan orang ramai.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad; Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh, Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Ab. Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

Terdahulu, jenazah dibawa keluar dari kediamannya di Jalan Semabok sebelum dibawa ke Masjid Al-Abrar untuk disembahyangkan.

Semalam, Abu Samah, 82, meninggal dunia di Mahkota Medical Center (MMC) kira-kira pukul 7.00 petang akibat penyakit kanser prostat yang dihidapinya sejak setahun lalu. Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada Jumaat.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Halimah Ali, 82, bersama tujuh anak dan 19 cucu.

Sementara itu, anak Allahyarham, Norazman Abu Samah, 58, berkata, ahli keluarganya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir menziarahi jenazah bapanya.

“Saya bersyukur sebelum pemergian ayah, kita berjaya menemukan pelumba basikal lebuh raya wanita negara yang pertama kali layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, Nur Aisyah Mohamad Zubir; bekas jurulatih negara, Ng Joo Ngan dan jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Amir Mustafa.

“Bila saya lihat kesihatan ayah semakin merosot walaupun tidak tenat, saya hubungi mereka serta minta datang ke MMC untuk melawat ayah dan mereka hadir kira-kira pukul 10.00 pagi semalam.

“Arwah sempat mengeluarkan kata-kata semangat kepada Nur Aisyah dan meminta atlet itu mencipta sejarah di Paris nanti, menyumbang pingat emas malah dia juga sempat berbual dengan Amir dan Joo Ngan.

“Saya cukup terharu dan memang impian ayah saya mahu atlet lumba basikal wanita negara yang pertama kali layak ke Olimpik dapat membawa pulang pingat,” katanya dengan nada sebak.

Abu Samah mula menjadi Presiden PKBM bermula 26 Februari 1990 dan turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Beliau melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan jawatannya di PKBM untuk penggal 2023 hingga 2026, sekali gus menerajui badan induk sukan berbasikal negara bagi penggal kesembilan berturut-turut.-UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.