PETALING JAYA: Hantaran lintang boleh dikatakan sebagai ‘mimpi ngeri’ buat Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale berpunca daripada gerakan berkenaan.
Empat gol berturut-turut daripada lima yang bolos, terhasil daripada hantaran lintang pemain tuan rumah pada minit kelapan jaringan Akihiro Ienaga, disusuli ledakan Leandro Damiao (m-50), Marcinho(m-60) dan Yu Kobayashi (m-69).
Kelemahan itu jelas dan pengendali JDT, Esteban Solari mengakui kegagalan pemainnya beraksi seperti dikehendaki menjadi punca dibelasah Kawasaki dalam Liga Juara-Juara Asia, kelmarin.
Kegagalan itu juga menyaksikan JDT tersingkir dari kejohanan dan gagal mengulangi pencapaian layak ke peringkat 16 terbaik seperti musim lalu dan kini hanya akan melengkapkan jadual apabila bertemu BG Pathum pada 12 Disember ini.
Dalam lima aksi Kumpulan I, JDT hanya mengutip enam mata selepas menang dua perlawanan dan tewas dua kali di tangan Kawasaki Frontale serta tewas sekali kepada kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
“Ia malam yang sukar buat kami kerana kami tidak bermain seperti yang dikehendaki dan ini juga bermaksud kami sudah tersingkir dari kejohanan ini walaupun masih ada satu lagi perlawanan berbaki.
“Kami mempunyai keyakinan terhadap perlawanan ini tetapi kami tidak bermain seperti yang sepatutnya.
“Kami tidak berada dalam perlawanan dan saya rasakan persembahan kami tidak seperti yang kami tunggu-tunggu dan sangat sedih kami tewas dan saya tidak mahu komen lebih lanjut,” katanya.
Dalam lima aksi Kumpulan I, JDT hanya mengutip enam mata selepas menang dua perlawanan dan tewas dua kali di tangan Kawasaki Frontale serta tewas sekali kepada kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
“Biarpun nampak kami beraksi dengan yakin (pada awal permainan), namun kami tidak beraksi sebagaimana yang sepatutnya,” katanya
Dalam aksi di Stadium Todoroki Athletics, itu, JDT ketinggalan 1-0 pada babak pertama sebelum Kawasaki menambah empat lagi jaringan pada babak kedua untuk membunuh sisa perjuangan JDT di ACL musim ini. – UTUSAN










