MANCHESTER: Erik ten Hag percaya, kedudukannya sebagai pengurus Manchester United tidak goyah biarpun Red Devils melalui satu lagi hari buruk apabila tumpas 2-3 kepada Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah semalam.
Bintang tengah United, Casemiro dibuang padang pada minit ke-77, manakala Mauro Icardi menyempurnakan sepakan penalti Galatasaray di minit ke-81 untuk melengkapkan ‘drama’ di Old Trafford.
Kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan kelab elit Eropah itu meletakkan United di tangga tercorot Kumpulan A, sekali gus berisiko tersingkir awal dari pertandingan.
Buat kali pertama sejak musim 1986-1987, United tewas dalam enam daripada 10 perlawanan mereka.

“Musim lalu amat menakjubkan, kami melakukan lebih daripada yang dijangkakan tapi kami dalam projek ini (membentuk semula United), kami tahu akan ada jurang dan seperti yang semua boleh lihat.
“Ketika ini kami dalam situasi sukar, namun kekal bersama, mendapat sokongan semua pihak dan di belakang saya ada pengarah, pasukan, semua akan berjuang.
“Kami harus melakukan lebih baik dan akan melakukannya bersama,” jelas Ten Hag.
Turun dengan harapan mahu melupakan kekalahan liga keempat kepada Crystal Palace, Sabtu lalu, United bermula baik apabila mendahului di minit ke-17 menerusi Rasmus Hojlund.
Kelebihan 1-0 bertahan kurang enam minit selepas bekas bintang United, Wilfried Zaha menyamakan kedudukan buat Galatasaray.

Selepas rehat, Hojlund memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk meletakkan United kembali di hadapan pada minit ke-67, namun Kerem Akturkoglu menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Pada minit ke-77, keadaan bertambah buruk buat United apabila kesilapan penjaga gol, Andre Onana memaksa Casemiro menghadiahkan penalti kepada lawan dan dia pula dibuang padang.
Icardi menyempurnakan penalti sembilan minit sebelum tamat permainan untuk menghantar Galatasaray ke tangga kedua kumpulan.
Sementara itu, nasib malang kelab England turut dikongsi Arsenal yang tumpas 2-1 kepada kelab Perancis, Lens dalam saingan Kumpulan B.
Ia satu tamparan buat skuad kendalian Mikel Arteta yang meraih kekalahan pertama musim ini. – AGENSI