PETALING JAYA: Malaysia kini berdepan gangguan bekalan plastik susulan konflik Asia Barat yang menjejaskan rantaian petrokimia dan menyukarkan pengilang mendapatkan bahan pembungkusan.
Konflik sejak Februari lalu itu telah mengganggu bekalan petrokimia dan menyebabkan kekurangan resin polyethylene terephthalate (PET) iaitu bahan penting untuk membuat botol plastik dan bekas makanan.
Keadaan itu mula dirasai pengguna apabila beberapa produk minuman semakin sukar didapati di pasaran selepas pengeluar mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan plastik.
Pengerusi Persatuan Pengilang Plastik Malaysia cawangan Johor, Mike Tan berkata, rantaian bekalan plastik berterusan jika konflik tidak reda dalam tempoh terdekat dan berpotensi menjejaskan lebih banyak sektor pembuatan serta pengedaran di negara ini.
Beliau berkata, sesetengah pengilang sudah mula menjual plastik pada harga yang lebih tinggi iaitu sekitar 15 hingga 40 peratus bergantung kepada jenis bahan.
“Kebiasaannya minyak mentah perlu dihantar ke tempat pemprosesan untuk PET bagi membolehkan kita membuat botol plastik dan sebagainya, jadi apabila minyak mentah tidak ada, pengilang tidak boleh hasilkan produk itu.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kita hanya boleh lihat dahulu selepas Iran membenarkan semua kapal untuk melalui Selat Hormuz, jika itu benar berlaku maka keadaan mungkin menjadi lebih baik sedikit.
“Harga plastik mungkin turun semula sedikit tetapi jika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mahu melanjutkan perang maka bekalan akan semakin terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kesan gangguan rantaian bekalan plastik itu kini mula dirasai di sesetengah pasar raya apabila sebahagian pengguna melaporkan ketiadaan barangan tersebut.
Mike berkata, sebahagian syarikat sukar untuk menggantikan plastik ke bahan lain seperti kaca untuk membungkus produk kerana pertambahan kos.
“Jika tukar pada botol kaca, harga lebih mahal dan mahu kitar semula pun menjadi susah. Lagi pun ia berat, menyebabkan waktu penghantaran turut menjadi lebih lama,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Korea Selatan sudah mula menyimpan stok barangan plastik seperti beg sampah kerana bimbang akan kekurangan bekalan yang mungkin akan berlaku.
“Selama beberapa dekad, plastik begitu murah dan mudah diperoleh sehingga kebanyakan orang hampir tidak memikirkannya. Namun ketegangan Asia Barat telah menunjukkan betapa pentingnya pembungkusan plastik,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, syarikat pengeluar susu itu juga berdepan masalah untuk menjual produknya disebabkan kekangan mendapatkan bungkusan plastik.
Menurutnya, Farm Fresh kini beralih kepada penggunaan kotak kertas dan kaedah pembungkusan lain bagi menampung keperluan.
Katanya, kesan tersebut bukan sahaja dirasai oleh syarikat susu itu sahaja tetapi semua syarikat yang perlu menggunakan plastik untuk membungkus produk mereka.
“Kita tidak tahu berapa lama konflik berkenaan akan berpanjangan namun apabila ia berlaku, harga akan meningkat dan bekalan menjadi sukar diperoleh.
“Farm Fresh banyak menggunakan botol plastik jadi memang kami terasa. Jadi sekarang kami menggunakan pembungkusan lain sebagai langkah untuk menampung kekurangan botol plastik buat sementara waktu tetapi jika perang berpanjangan memang kesannya akan teruk,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kehormat Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia, Dr. Lee Nan Sang berkata, keadaan itu menyebabkan harga makanan meningkat apabila kos mendapatkan plastik bagi membungkus makanan dan minuman sudah bertambah.
“Jadi sebagai pengguna, kita perlu sentiasa menyediakan bekas atau plastik kitar semula semasa membungkus sesuatu seperti makanan dan minuman bagi mengelak berlakunya kenaikan ini.
“Peniaga juga tidak sepatutnya menaikkan harga dengan melampau sehingga menekan pembeli,” katanya.-UTUSAN










