Kuota BUDI95 dikurangkan demi elak beban rakyat di masa depan

Kuota BUDI95 dikurangkan demi elak beban rakyat di masa depan

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan penjawat awam selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan mengurangkan kuota BUDI95 dibuat bagi mengelakkan kesan dan beban lebih besar kepada rakyat pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau khuatir jika petrol RON95 sebanyak 100 liter dipulangkan semula, ia akan memberi kesan kepada negara.

Beliau mengakui ada pihak terkesan dengan pengurangan kuota BUDI95 itu tetapi mengembalikan kuota asal tidak menyelesaikan masalah dihadapi majoriti rakyat.

“Saya boleh luluskan (kembalikan kuota asal) bagi menyenangkan rakyat dan bagi semua gembira sementara, selepas itu masing-masing akan terima beban. Tak boleh (ia tidak boleh dilakukan).

“Apa-apa dasar yang diputuskan oleh kerajaan telah memikirkan cabaran kini dan cabaran masa depan. Apa yang kita boleh lakukan, kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Pengangkutan di sini semalam.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter.

Pada masa sama, Anwar berkata, isu kenaikan harga diesel juga telah memberi kesan besar kepada sektor pengangkutan negara.

“Kerajaan cuba bantu melalui pelbagai inisiatif tetapi belum selesai sepenuhnya. Hari-hari kita dengar isu ini.

“Ada sektor terbantut dan ada yang masih terkesan seperti sektor pelancongan. Kita perlu dengar dan selesaikan sebaik mungkin secara berperingkat,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, kenaikan harga minyak bukan hanya disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan.

“Kos minyak yang lama diambil sebelum perang tersangkut di (Selat) Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat. Oleh kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri, caj penghantaran juga bertambah.

“Maknanya minyak yang asalnya itu sepatutnya rendah (kosnya) untuk diproses di Pengerang, (kini) sudah meningkat kosnya,” katanya.

Menyentuh perbualan telefon dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani baru-baru ini, Anwar berkata, pemimpin utama Qatar itu menjelaskan proses pemulihan tenaga di Timur Tengah akan mengambil masa yang agak lama.

Katanya, biarpun terdapat perkembangan yang sedikit meredakan susulan gencatan sementara perang, namun situasi keseluruhan masih belum ada kepastian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN