AS, Israel cabuli gencatan senjata

AS, Israel cabuli gencatan senjata

ORANG ramai memeriksa lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan pinggir selatan Beirut.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Israel didakwa mencabuli syarat gencatan senjata dengan Iran dalam tempoh 24 jam selepas perjanjian dimeterai bagi menamatkan konflik.

Dakwaan itu timbul apabila Iran mendakwa sebuah kilang penapisan minyak di Pulau Lavan diserang oleh musuh, namun Israel menafikan pengli­batan mereka.

Dalam masa sama, Israel meneruskan serangan udara di Lubnan dengan menyasarkan kawasan tengah Beirut sehingga mengorbankan 182 orang serta mencederakan 890 yang lain.

Iran sebagai tindak balas kemudian menghentikan trafik perkapalan di Selat Hormuz.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf mendakwa,  AS melanggar tiga daripada 10 syarat yang dikemukakan Tehran.

Menurut beliau, pelanggaran tersebut melibatkan serangan berterusan Israel ke atas Lubnan, pencerobohan dron ke ruang udara Iran serta penafian hak negara itu untuk memperkaya uranium.

Katanya, tindakan itu men­cerminkan kegagalan AS mematuhi komitmen yang dipersetujui selain menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan rundingan damai.

“Dalam keadaan ini, gencatan senjata dua hala atau rundingan adalah tidak munasabah,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Setakat ini, belum ada kenya­taan rasmi daripada pihak AS dan Israel berhubung dakwaan tersebut.

Kelmarin, AS dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu dalam usaha saat akhir mengelakkan konflik lebih besar.

Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran kemungkinan peningkatan konflik sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai perjanjian sebenar.

Beliau berkata, tindakan ketenteraan yang lebih besar dan kuat akan diambil jika rundingan tidak membuahkan hasil.

Trump turut menegaskan semua aset ketenteraan AS akan kekal ditempatkan di sekitar Iran sehingga perjanjian muktamad dicapai serta dipatuhi sepenuhnya.

“Semua kapal, pesawat dan anggota tentera Amerika Syarikat, termasuk bekalan senjata tambahan, akan terus berada dalam kesiapsiagaan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya perjanjian gagal dicapai, tindakan ketenteraan akan dimulakan semula pada skala lebih besar.

Mengulas serangan terhadap Lubnan, Trump berkata, negara itu tidak termasuk dalam gencatan senjata antara AS dan Iran serta bercanggah dengan kenyataan Pakistan yang menjadi pengantara perjanjian itu.

“Disebabkan Hizbollah, mereka tidak termasuk dalam perjanjian itu,” katanya.

Bagaimanapun Iran menegaskan bahawa Lubnan termasuk dalam perjanjian itu yang menandakan satu perbezaan utama mengenai gencatan senjata yang rapuh untuk menamatkan konflik.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN