MANCHESTER: Sering menjadi bahan jenaka dan ejekan, Harry Maguire puas akhirnya berjaya menutup mulut ‘pembenci’ dengan meledak gol kemenangan Manchester United ketika menumpaskan FC Copenhagen 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah semalam.
Selain Maguire, penjaga gol, Andre Onana yang turut menjadi bahan jenaka peminat sejak tiba ke Old Trafford musim ini muncul wira Red Devils apabila menafikan sepakan penalti Jordan Larsson di masa kecederaan.
Jaringan Maguire pada minit ke 72 itu adalah gol pertamanya bersama United sejak Februari 2022.
“Ini Manchester United, salah sebuah kelab besar, jika sekali pun bukan yang paling besar di mata dunia.
“Apabila anda tidak bermain cemerlang, anda akan diperhatikan dan dijadikan bahan analisis.
“Saya bangga dan gembira dengan sikap yang ditunjukkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan ini, dan bila diberi peluang, saya hanya mahu membantu pasukan dan membawa kelab kembali ke tempat yang kami inginkan,” jelas Maguire.
Maguire mengharungi musim sukar apabila dilucutkan lilitan kapten, selain bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Erik ten Hag, tatkala Lisandro Martinez dan Raphael Varane lebih memikat pengurus Belanda itu.
Onana juga berharap keputusan semalam mampu menjadi titik untuk dia bangkit di Old Trafford.
“Ini kelab besar yang dipenuhi pemain bintang, jadi semuanya hanya menunggu masa. Kami perlu meneruskan aksi sebegini,” jelas Onana.
Selepas kalah dalam dua aksi pertama, kemenangan semalam membolehkan United naik ke tangga ketiga Kumpulan A.
Mereka ditinggalkan enam mata di belakang pendahulu, Bayern Munich yang menewaskan pasukan tangga kedua, Galatasaray 3-1. – AGENSI










