England lunas dendam, layak ke Euro 2024

England lunas dendam, layak ke Euro 2024

PEMAIN England meraikan kejayaan menumpaskan Itali di Stadium Wembley, London untuk layak ke Euro 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: England bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Itali 3-1 di Wembley, awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke Kejohanan Eropah (Euro) 2024.

Kemenangan itu membolehkan The Three Lions membalas dendam atas kekalahan kepada skuad Azzurri menerusi penentuan sepakan penalti dalam final Euro 2020 di stadium sama.

Dengan saingan masih berbaki dua perlawanan, England yang tidak kalah dalam enam aksi mereka sudah pun mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan C.

Skuad bimbingan Gareth Southgate itu hanya memerlukan satu mata untuk layak ke Jerman, namun mereka dikejutkan dengan gol jarak dekat Itali yang disempurnakan Gianluca Scamacca selepas 15 minit permainan bermula.

Dua jaringan ketua pasukan, Harry Kane dan satu gol yang disempurnakan Marcus Rashford bagaimanapun membantu kebangkitan hebat The Three Lions.

“Ini adalah kumpulan kelayakan paling sukar, kami memberi aksi yang sangat baik.
“Saya bekerja dengan pemain-pemain yang hebat, mereka dahaga (kemenangan), sangat bersemangat.

“Anda tengok perlawanan hari ini. Kami langsung bermain tanpa penat. Ia sangat menggembirakan melihat pasukan kekal tenang ketika ketinggalan,” kata Southgate.

Itali kini perlu bekerja keras untuk tidak tercicir daripada layak ke kejohanan utama selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan C, di belakang England dan Ukraine, yang menewaskan Malta 3-1.

“Beraksi di kempen kelayakan tidak mudah. Kadang-kadang kami diletakkan harapan tinggi apabila beraksi di satu-satu kejohanan besar tetapi kita sudah lihat sejarah lalu yang ia tidak semudah seperti yang kita dilihat.

“Kami ketinggalan 0-1 dan kekal tenang. Kami tahu kami boleh mendapatkan kemenangan dan kami berjaya melakukannya,” kata Kane kepada Channel 4. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN